Umno buat-buat tak sedar mereka masih dalam kerajaan bersama PH dan DAP sedangkan Bersatu kekal pembangkang – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengingatkan Umno bahawa parti Melayu masih berada dalam kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) dan DAP dalam Kerajaan Persekutuan dan juga di beberapa negeri.

Sedangkan katanya Bersatu masih berstatus pembangkang.

Tegas Tun Faisal, Bersatu hanya menandatangani CSA (Confidence and Supply Agreement), iaitu Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan antara parti politik untuk memastikan kerajaan dapat meneruskan pentadbiran dan meluluskan urusan penting, khususnya belanjawan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa perlu berada dalam kerajaan dan menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Ramai pemimpin dan ahli Umno sengaja buat-buat tak sedar bahawa Umno masih berada dalam kerajaan bersama PH dan DAP, di Pusat dan di beberapa negeri.

“Umno memikul tanggung jawab bersama tentang apa sahaja dasar kerajaan, baik dan buruk, sepanjang hampir 4 tahun ini. Masalahnya, Umno ‘pass the blame’ kepada Perdana Menteri dan PH, walaupun mereka sepatutnya memikul tanggung jawab bersama sebagai anggota kerajaan kerana mereka terlibat merangka dasar dan undang-undang, meluluskannya dan melaksanakannya.

“Berbeza dengan Bersatu, Bersatu tidak berada dalam kerajaan sepanjang tempoh hampir 4 tahun ini. Sehingga hari ini, Bersatu juga tidak berada dalam kerajaan PH-BN seperti Umno,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Tun Faisal, prinsip asasnya adalah ahli-ahli Parlimen Bersatu bersetuju memberikan sokongan kepada kerajaan agar urusan pentadbiran dan kewangan negara dapat diteruskan demi kepentingan rakyat dan negara, pada waktu yang sama Bersatu kekal sebagai parti pembangkang yang berprinsip dan menjalankan fungsi semak dan imbang.

“Walaupun Bersatu kekal sebagai pembangkang, melalui CSA, peranan Bersatu dapat dipertingkatkan dari segi, Bersatu boleh ketika negara menghadapi cabaran dan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global, membantu memastikan pentadbiran negara berfungsi secara paling optimum demi melindungi kepentingan negara, sektor perniagaan dan rakyat.

“Selain itu, melalui saluran kerjasama yang dipersetujui, memperjuangkan kepentingan rakyat secara lebih berkesan agar suara, keperluan dan kebajikan rakyat mendapat perhatian dalam proses membuat keputusan kerajaan, serta menyumbangkan idea dan cadangan secara lebih efektif bagi menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan, melindungi peluang pekerjaan dan memperkukuh ekonomi rakyat.

“Juga, meneruskan perjuangan merealisasikan agenda reformasi institusi bagi memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran, termasuk dalam perkara berkaitan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, memisahkan peranan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya, serta memperkukuh integriti, kebebasan institusi, ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran negara, pembaharuan institusi penting negara serta pengukuhan sistem semak dan imbang seperti yang dipersetujui dalam CSA.

“Akan meneruskan perjuangan bagi memastikan pengukuhan dan pelaksanaan yang menyeluruh dan efektif Agenda Bumiputera, juga seperti yang terkandung dalam CSA.

“Turut membuka ruang kerjasama konstruktif dengan kerajaan dalam perkara yang dipersetujui demi kepentingan rakyat dan negara, sambil mengekalkan kebebasan Bersatu untuk menegur kelemahan kerajaan, membantah dasar yang tidak memihak kepada rakyat dan menjalankan fungsi semak dan imbang tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti,” jelas beliau.

Tambah Tun Faisal, perbezaan ideologi dan pendirian politik antara Bersatu dengan kerajaan tetap wujud.

Namun katanya, perbezaan itu tidak seharusnya menghalang kerjasama dalam perkara yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan ketidak tentuan ekonomi dan geopolitik global hari ini.

“Dalam berpolitik, tenaga dan sumber sepatutnya digunakan untuk mencari penyelesaian, bukan dihabiskan dalam pertikaian yang tidak membawa manfaat kepada rakyat. Politik bukan sekadar soal siapa mahu berebut membentuk kerajaan, tetapi juga bagaimana kepentingan rakyat dapat dipelihara, masalah mereka diselesaikan dan masa depan negara dijamin.

“PRU16 akan sampai juga. Ketika itu parti politik akan menilai semula kedudukan mereka dan rakyat akan menjadi hakimnya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat