KE MANA UMNO SELEPAS INI?

- Advertisement -

Oleh Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri

Mengenjak tarikh keramat pada 11 Mei 2020 yang lalu bermakna sudah tujuh puluh empat tahun UMNO sudahpun berada dalam persada politik tanah air. Sejak UMNO ditubuhkan hinggalah ke hari ini, UMNO sudahpun melalui pelbagai-bagai kejayaan, rintangan, cabaran malah terpaksa juga berhadapan dengan saat genting yang berlaku pasca Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu dimana UMNO sudah tidak lagi berada di kemuncak kuasanya seperti biasa.

Tumbang dan tersungkurnya UMNO di kaki rakyat selepas 9 Mei 2018 membawa makna legasi UMNO sebagai “abang besar” dalam Barisan Nasional selama 61 tahun di puncak kuasa sudah gagal dipertahankan.

Walaupun begitu, UMNO juga sebenarnya sudah boleh berbangga kerana berjaya mencatat sejarah sebagai parti politik yang paling lama kekal di dunia jika hendak dibandingkan dengan parti-parti lain seperti LDP di Jepun, parti Kongres di India (1977), parti Nacionalista di Filipina (1986), Golkar di Indonesia (1998) dan Kuomintang (KMT) di Taiwan (2000).

Berkuasa paling lama dalam dunia adalah tidak membawa apa-apa makna bagi UMNO kerana pasca 9 Mei 2018 adalah merupakan detik yang kritikal bagi UMNO dalam menentukan halatuju dan visi perjuangan parti itu sendiri.

Keputusan UMNO untuk mencari semula dan mengorak langkah kembali kepada asas perjuangan parti adalah satu keputusan yang bijak telah diambil oleh UMNO. Selepas UMNO kehilangan kuasa, hala tuju dan semangat ahli UMNO tidak diketepikan sebaliknya UMNO terus mengorak langkah ke hadapan dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai parti kepercayaan orang-orang Melayu.

Mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian berjalan seperti biasa sungguhpun hanya berbekalkan air mineral ianya tidak dapat melunturkan semangat ahli UMNO untuk bangkit kembali membawa parti ke arah landasan perjuangan yang betul.

Pada ketika menjalankan tugas Presiden UMNO, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan bahawa ahli parti diseru untuk kembali kepada semangat perjuangan dan UMNO yang asal adalah sebuah partiyang tidak mengharapkan wang atau imbuhan sebaliknya bekerja dengan ikhlas demi menghidupkan parti.

Sebagai sebuah parti dominan di dalam pembangkang pasca Mei 2018, kekuatan UMNO yang mempunyai 78 orang ahli Parlimen mula teruji apa sedikit demi sedikit ahli-ahli Parlimen di bawah UMNO mula meninggalkan parti dengan pelbagai alasan.

Tidak cukup dengan itu, gelora yang menguji UMNO juga turut terkesan dalam Barisan Nasional apabila beberapa parti komponen turut sama “angkat kaki” dan akhirnya menyaksikan 3 parti asas yang mula-mula membentuk Barisan Nasional iaitu UMNO, MCA dan MIC tinggal meneruskan perjuangan. Lantas, satu bentuk naratif baru perlu dicipta oleh UMNO sebagai asas kepada perjuangan parti ini untuk terus kekal relevan di mata rakyat. Kerjasama yang telah dijalin bersama dengan PAS dalam Muafakat Nasional adalah satu langkah yang baik dalam usaha untuk memastikan bahawa perjuangan UMNO bersama PAS dalam membela agama, bangsa dan tanahair terus kekal relevan.

Sungguhpun ramai dikalangan ahli-ahli UMNO yang pada awalnya agak skeptikal dan meragui dengan semangat kerjasama yang telah ditunjukkan ini namun hasil daripada persepakatan kedua-dua parti ini menyaksikan hasil yang memberangsang telah pun ditunjukkan.

Bermula dengan perhimpunan menentang ICERD, RUU 355, siri Himpunan Penyatuan Ummah di serata negara dan akhirnya membawa kepada kehadiran PAS sebagai tetamu utama dalam Perhimpunan Agung UMNO. Kerjasama yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua parti ini dalam Muafakat Nasional sedikitpun tidak mengenepikan semangat yang dibawa oleh ahli komponen lain seperti MCA dan MIC dalam parti Barisan Nasional.

Hasil daripada kerjasama yang telah ditunjukkan oleh komponen dari Barisan Nasional dan turut bersama bekerja dalam Muafakat Nasional dapat diterima dengan baik oleh rakyat setelah calon dari Barisan Nasional berjaya memenangi kerusi yang dipertandingkan dalam lima siri Pilihanraya Kecil berturut-turut.

Keyakinan yang telah ditunjukkan oleh rakyat kepada persepakatan dan kerjasama ini lah yang telah menakutkan kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu. Apabila transisi perubahan kerajaan berlaku, kini Muafakat Nasional yang ditunjangi UMNO sama-sama telah bersepakat sekali lagi dan kali ini turut sama melibatkan sebahagian daripada ahli Parlimen PPBM dan bekas ahli PKR termasuk juga dengan sokongan daripada Sabah dan Sarawak yang sama-sama menunjukkan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Muafakat Nasional telah pun menjadi kerajaan pada hari ini. Ada diantaranya ditawarkan jawatan Menteri, Timbalan Menteri, pengerusi GLC dan juga jawatan-jawatan strategik lain dalam kerajaan. Adalah menjadi harapan agar kedudukan yang diperolehi ini dapat mengukuhkan lagi kedudukan dan kerjasama Muafakat Nasional.

Tempoh yang ada tidaklah terlalu lama, mungkin 2 tahun dari sekarang atau 1 tahun ataupun kurang dari itu.

Tidak lama lagi, Pilihanraya Kecil di kawasan N23 DUN Chini akan berlangsung. Track record Allahyarham Dato Abu Bakar di kawasan tersebut sangatlah baik pencapaiannya. DUN Chini pula berada di dalam kawasan Parlimen Pekan, kawasan Parlimen bekas Presiden UMNO, Dato Sri Mohd Najib bin Abdul Razak.

Kepada ahli-ahli UMNO, moleklah kiranya andai majoriti yang dimenangi ini dapat dipertahankan, atau lebih baik lagi dapat dipertingkatkan. Biarlah rakyat menilai gerak kerja dan kualiti yang diimiliki oleh UMNO dan kerjasama serta persepakatan Muafakat Nasional ini sebagai satu bentuk permuafakatan yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat pada masa kini dan seterusnya pada masa akan datang.

Akhirul kalam, ahli-ahli UMNO seharusnya perlu melihat dan menilai apa yang telah disampaikan oleh bekas Presiden UMNO, Dato Sri Najib Razak sempena menyambut Ulangtahun Hari UMNO yang ke 74 yang lalu yang menekankan kepada dua elemen iaitu Solidariti dan Kesetiaan sebagai asas kepada tonggak perjuangan UMNO. Selamat Menyambut Ulangtahun UMNO ke 74.

Achmad Dzariean Mohd Nadzri, PhD. Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia, UUM MAPAN, Universiti Utara Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat