KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan budaya buli bukan sesuatu yang harus dibanggakan.

Beliau berkata demikian berhubung petikan klip video tular yang memaparkan seorang pelajar dipukul oleh beberapa orang pelajar lain disahkan berlaku di salah sebuah sekolah di Langkawi.

“Saya sedih membaca berita kes buli di sebuah sekolah di Langkawi.

“Buli membawa kepada budaya samseng. Kini ianya menjadi kes polis.

“Saya harap semua pelajar yang terlibat sedar dan ambil peringatan yang buli bukanlah sesuatu yang harus kita banggakan,” tegas Dr Mahathir dalam ciapan Twitternya pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari yang mengesahkan kejadian berkata susulan itu seorang pelajar lelaki tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi hari ini, mendakwa dipukul oleh beberapa pelajar lain.

Katanya, hasil keterangan daripada mangsa yang berusia 16 tahun itu mangsa memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi 27 April 2022 dalam sebuah kelas gara-gara selisih faham.