Sanusi Ego, Isham Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR -Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung mengaitkan beliau dengan minit mesyuarat PASLeaks yang mengandungi perancangan melumpuhkan UMNO.

Kata Isham beliau telah membuka ruang dan peluang supaya Sanusi menarik balik dakwaannya dan memohon maaf namun Pengarah Pilihan Raya PAS itu enggan berbuat demikian.

“Saya telah beri peluang kepada kamu (Sanusi) untuk meminta maaf, tetapi kamu ego. Oleh itu, saya akan teruskan tindakan ke atas kamu supaya menjadi contoh teladan kepada orang lain agar jangan memfitnah orang.

“Saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Bukit Puchong melalui pegawai saya pada pagi ini,” catat Isham di Facebooknya pada Jumaat.

Menurut Isham kenyataan-kenyataan Menteri Besar Kedah adalah tidak benar, fitnah dan berniat jahat terhadap dirinya.

“Pada hemat saya, kenyataan-kenyataan Menteri Besar Kedah mempunyai elemen-elemen fitnah jenayah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.

“Saya membuat laporan ini untuk memohon pihak polis agar menyiasat kesalahan undang-undang yang telah dibuat oleh Menteri Besar Kedah di atas di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan atau di bawah peruntukan undang-undang lain yang berkaitan agar ia menjadi iktibar dan pengajaran terutama kepada yang memegang jawatan besar dalam kerajaan supaya menjadi lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataaan dan tidak memfitnah rakyat atau orang ramai,” ulas beliau.

Menurut Isham, pada 27 April 2022 beliau terbaca satu laporan akhbar di portal Harian Metro, SuaraTV dan lain-lain berkenaan kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Kedah iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu sidang media.

“Dalam sidang media tersebut beliau telah mengatakan bahawa, “Saya (Sanusi) beranggapan dokumen itu dibuat laskar siber pihak yang dapat kepentingan daripada dokumen itu, contohnya Ketua Penerangan UMNO (Barisan Nasional) Isham Jalil.”

“Isham ini .. mungkin ada kepentingan pada dokumen itu dan sedang guna dokumen itu.”

Dan, “Orang macam ini ada potensi untuk buat dokumen,”.

“Kenyataan ini dibuat olehnya ketika sidang media rasmi di pejabatnya di Wisma Darul Aman, Kedah dan tersebar secara meluas di media massa.Dokumen tersebut di atas merujuk kepada dokumen “Pasleak” yang tular,” jelas beliau.

Semalam, Sanusi berkeras enggan melayan tuntutan maaf daripada Isham , sambil menyatakan beliau sebagai “anak seluang”, berhubung penularan dokumen “PASLeaks”.

Isham sebelum itu memberi tempoh 48 jam kepada menteri besar Kedah itu memohon maaf selepas mendakwa dikaitkan dengan penulisan dokumen kontroversi berkenaan atau mungkin berdepan tindakan saman.

Sanusi yang terkenal dengan sikap sinisnya, memberi perumpamaan “anak seluang” yang seolah-olah menggambarkan Isham seorang yang “kecil” untuk diberi perhatian.