Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Foto: Facebook PM

KUALA LUMPUR- Kerajaan komited memenuhi aspirasi untuk membina 500,000 rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) sebagai usaha merealisasikan wawasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, aspirasi ini sangat dekat di hati beliau dan pihak kerajaan memahami kerisauan anak muda untuk mempunyai tempat untuk berteduh terutamanya selepas mereka bersara.

“Meskipun berlakunya peningkatan kos binaan mendadak akibat konflik antara Rusia-Ukraine yang akan memberi kesan kepada harga rumah, Kerajaan beriltizam untuk memastikan satu rangka penyelesaian disediakan.

“Sehubungan itu, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang,” jelas beliau pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PR1MA di Astrum Ampang pada Jumaat.

Susulan perkara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan menyedari kediaman menjadi keperluan mendesak bagi Keluarga Malaysia.

Hal demikian katanya di bawah RMK-12 dan MPMMN, langkah-langkah segera dan jangka panjang telah digariskan untuk menyelesaikan perkara ini.

“Ini adalah selari dengan usaha memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 dalam usaha mengelakkan mereka daripada menanggung beban kewangan yang berat.

“Langkah ini diperkukuhkan lagi dengan usaha-usaha sedia ada agensi-agensi Kerajaan lain seperti PR1MA misalnya, yang dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari.

“Saya juga berterima kasih kepada PR1MA kerana menyahut seruan kerajaan supaya membina lebih banyak rumah mampu milik di bawah RMK-12 dan menawarkan penyelesaian pembiayaan perumahan kepada Keluarga Malaysia terutamanya golongan muda,” ucap beliau.

Perdana Menteri menambah, kerajaan akan terus menyokong usaha PR1MA dalam membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri yang membolehkan penghuninya menikmati kehidupan yang mapan.

“Falsafah penubuhan PR1MA bukan sekadar membangunkan rumah mampu milik tetapi lebih daripada itu. PR1MA turut bermatlamat membina satu komuniti yang bersepadu dan harmoni.

“Saya berharap PR1MA akan terus cekap dalam menggalas sasaran ini dan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan wawasan ini dijayakan, dan bukan hanya sekadar janji,”
ujarnya.

Ismail Sabri menyatakan berdasarkan harga pasaran semasa, harga rumah semakin meningkat. Ditambah dengan kedudukan kewangan yang tidak kukuh, sukar untuk golongan ini memiliki rumah sendiri.

Jelasnya, kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat. Justeru, KPKT membuat perancangan untuk melaksanakan pembinaan kediaman baharu berkonsepkan transit atau ‘Transit Oriented Development’ (TOD).

“Kediaman TOD bukan sahaja memudahkan pergerakan anak muda ke tempat kerja tetapi juga membolehkan negara mencapai sasaran mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2030 selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG30).

“Astrum Ampang, merupakan contoh kediaman mampu milik yang mempunyai akses kepada rel Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang-Sri Petaling, MRT Sungai Buluh Kajang selain bakal disambung dengan MRT Sungai Buloh-Putrajaya dan LRT 3.

“Saya difahamkan Astrum Ampang, sebuah projek pembangunan bercampur, akan dibangunkan oleh Astrum Ampang Sdn. Bhd. manakala PR1MA bertindak sebagai pelabur dan rakan usaha sama,”katanya.

Daripada keseluruhan projek, satu daripada empat fasa pembangunannya dikhususkan bagi kediaman PR1MA dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM180.80 juta.

“Bagi projek ini, sebanyak 712 kediaman mampu milik berkonsepkan Small Office Home Office (atau SOHO) dan apartmen khidmat (atau service apartment) di bawah PR1MA akan ditawarkan pada harga RM250,000 dan RM270,000 dengan keluasan 450 kaki persegi dan 550 kaki persegi.

“Selain harga mampu milik, pembeli turut menikmati pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, surau, gelanggang badminton dan taman permainan. Ini adalah satu tarikan untuk anak muda kita hari ini untuk memiliki kediaman ini,” kata Perdana Menteri.