KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil menjelaskan insiden melibatkan tindakan penguatkuasaan terhadap seorang penjaja belon tanpa lesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan rasmi DBKL, kejadian berlaku pada 28 Mac 2025 sekitar jam 11.50 malam ketika anggota penguat kuasa menjalankan rondaan berkala di kawasan berkenaan. Kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen didapati menghalang pergerakan orang ramai, terutama dalam suasana persiapan menjelang Aidilfitri.
DBKL menegaskan bahawa teguran telah diberikan kepada penjaja terbabit sebelum tindakan diambil. Sebilangan besar penjaja tanpa lesen memberikan kerjasama dan beredar, namun seorang penjaja belon enggan akur meskipun telah diberi teguran sebanyak dua kali. Ketika teguran ketiga dilakukan, penjaja tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal terhadap petugas penguat kuasa.
Bagi mengelakkan insiden lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak memisahkan penjaja tersebut. Keadaan menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun berjaya dikawal. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini.
DBKL menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dijalankan berdasarkan peraturan yang ditetapkan tanpa sebarang unsur perkauman. Pihak berkuasa tempatan itu juga akan menjalankan siasatan lanjut serta menilai prosedur operasi standard (SOP) bagi menambah baik tindakan penguatkuasaan pada masa akan datang.
Sehubungan itu, DBKL mengingatkan semua peniaga supaya mematuhi peraturan perniagaan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran dan kesejahteraan awam, terutama di kawasan tumpuan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman.