KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap seorang peniaga belon yang dikenali sebagai ‘Abang Belon’ atas dakwaan menghalang tugas penjawat awam dalam insiden melibatkan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat oleh anggota penguat kuasa DBKL pada 29 Mac 2025.
“Semasa proses penyitaan berlaku pergelutan antara anggota penguat kuasa DBKL dengan penjaja tersebut. Selain itu, beberapa penjaja lain turut membuat provokasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, video insiden tersebut tular di media sosial, mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen. DBKL sebelum ini menjelaskan bahawa tindakan diambil selepas ‘Abang Belon’ enggan mematuhi arahan beredar walaupun telah diberi teguran sebanyak tiga kali. Pihak berkuasa tempatan itu turut menafikan sebarang unsur kekerasan yang melampau dalam insiden berkenaan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta memastikan tindakan lanjut yang sewajarnya diambil.