SHAH ALAM, – Pertikaian antara MMC Gamuda dan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mencetuskan persoalan apabila gangguan akibat pandemik COVID-19 turut dimasukkan dalam tuntutan berjumlah RM2.8 bilion yang dikemukakan syarikat itu.
Tuntutan tersebut dibuat melalui anak syarikat MMC Gamuda, iaitu MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, berkaitan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya.
Berdasarkan notis yang difailkan MRT Corp selaku plaintif di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 November 2025, MMC Gamuda menuntut sejumlah anggaran RM2.82 bilion, termasuk RM1.8 bilion bagi lanjutan masa, gangguan, tuntutan keselamatan, kerja tambahan penjagaan serta penyelenggaraan kemudahan.
“Menurut notis niat tersebut, defendan menuntut sejumlah anggaran RM2,821,102,265.25 terhadap plaintif, yang terdiri antara lain daripada lanjutan masa, gangguan, kerja tambahan penjagaan dan penyelenggaraan kemudahan berjumlah RM1,819,334,781.48,” menurut dokumen mahkamah itu.
Mengikut afidavit sokongan yang dikemukakan Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang MRT Corp, Fareen Fadlynaz Mohd Farid, sebahagian besar tuntutan RM1.8 bilion itu membabitkan ganti rugi berkaitan lanjutan masa dan gangguan ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
Tuntutan tersebut bukan sahaja memberi implikasi besar kepada kedudukan kewangan negara, malah melibatkan wang pembayar cukai memandangkan projek MRT adalah infrastruktur awam yang dibiayai kerajaan.
Perhatian turut tertumpu apabila tuntutan dibuat selepas projek MRT Laluan Putrajaya siap sepenuhnya, selain dilaksanakan di bawah aturan kontrak harga tetap (fixed-price contract).
Pemerhati berpandangan, sekiranya tuntutan itu diterima mahkamah dan memihak kepada MMC Gamuda, ia berpotensi menjadi precedent kepada pihak lain untuk menggunakan alasan COVID-19 bagi membuka semula kontrak kerajaan yang telah diselesaikan.
Untuk rekod, kerajaan menyelia ratusan projek infrastruktur awam yang turut terjejas sepanjang pandemik susulan sekatan pergerakan, kekurangan tenaga kerja dan kekangan peraturan operasi.
Pertikaian ini masih di peringkat mahkamah dan menjadi perhatian sama ada kesan pandemik boleh dijadikan asas tuntutan tambahan bagi projek yang telah siap serta bayaran telah diselesaikan.
Dalam kes ini, MRT Corp diwakili Tetuan Sanjay Mohan, manakala MMC Gamuda diwakili Tetuan Ganathan Loh.



