KUALA LUMPUR,– Operator restoran makanan segera tempatan, BGM Burgerman bakal mencipta kelainan apabila memilih 1,000 orang pelanggan sebagai perasmi pembukaan cawangan terbaharu mereka di Setapak, Sabtu ini.
Majlis perasmian yang disifatkan sebagai pertama seumpamanya di Malaysia itu akan berlangsung pada Sabtu, 31 Januari, jam 10 pagi di premis BGM Burgerman Setapak di Tingkat Bawah, No. 2 Jalan Suria Setapak, Taman Suria Setapak, Kuala Lumpur.
Pengasas BGM Burgerman, Nordin Mat berkata, idea perasmian oleh seribu pelanggan itu dicetuskan bagi memberi penghargaan kepada rakyat biasa serta menanam rasa bangga terhadap jenama tempatan.
“Ini bukan sekadar pembukaan kedai. Ini adalah perasmian oleh rakyat, untuk rakyat. Kami mahu komuniti menjadi sebahagian daripada sejarah kami,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Berbeza dengan konsep pembukaan rasmi yang lazimnya dirasmikan oleh tetamu kenamaan, BGM Burgerman tampil dengan pendekatan “Perasmian Oleh Rakyat” di mana setiap pelanggan jemputan akan mengambil bahagian memotong riben, bergambar sebagai perasmi dan menandatangani ‘Wall of Appreciation’ sebagai simbol sokongan komuniti.
Menurut kenyataan itu, majlis berkenaan menyasarkan kehadiran 1,000 perasmi sekali gus menjadikannya antara perasmian paling inklusif pernah dianjurkan oleh jenama makanan segera tempatan.
Sebagai tanda penghargaan, setiap pelanggan yang hadir turut layak menikmati menu Mega Burger yang berharga asal RM17.90 pada harga istimewa RM2.00 sahaja.
Pembukaan cawangan Setapak ini juga merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan BGM Burgerman untuk mendekati komuniti setempat dan mencipta pengalaman lebih bermakna bersama pelanggan.
Lokasi premis boleh dirujuk melalui Google Maps.
.



