Kuala Lumpur, — Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang merangka peraturan baharu bagi menguatkuasakan larangan khusus pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing di stesen minyak.
Pengerusinya, Mohd Khair Ngadiron berkata, usaha itu penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang diperuntukkan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia selaras dengan prinsip keadilan sosial serta perlindungan pengguna.
“MPPN berpandangan bahawa langkah ini adalah satu tindakan penting untuk memastikan subsidi petrol RON95 dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Khair, MPPN mengambil maklum penjelasan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada menerusi Peraturan 12A ketika ini hanya melibatkan larangan terhadap penjualan, sekali gus tindakan hanya boleh dikenakan terhadap stesen minyak semata-mata.
Sehubungan itu, beliau berkata cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang merangkumi larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga pembelian merupakan langkah wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi.
“Penyaluran subsidi tanpa kawalan yang berkesan boleh membuka ruang kepada ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak tidak layak serta meningkatkan beban fiskal yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik,” katanya.
Beliau menambah, langkah itu turut dilihat sebagai usaha strategik untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan.
Mohd Khair berkata, sebagai badan penasihat utama kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi serta meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.



