Syarikat Induk Shopee Tambah Pelaburan, Wujudkan Lebih 2,000 Pekerjaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sea Limited (Sea), sebuah syarikat internet global terkemuka berpangkalan di Singapura yang juga syarikat induk bagi Shopee, memberi komitmen untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, dan bakal mewujudkan lebih 2,000 pekerjaan langsung.

Sea mengendalikan tiga teras perniagaan merangkumi hiburan digital, e-dagang, serta pembayaran digital dan perkhidmatan kewangan yang dikenali sebagai Garena, Shopee dan SeaMoney.

Shopee adalah platform e-dagang serantau terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan.

Keputusan itu dimaklumkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, semasa sesi lawatannya ke ibu pejabat Shopee.

Misi pelaburan tiga hari Tengku Zafrul adalah bersempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura esok.

Sebagai salah sebuah negara penyumbang terbesar pelaburan asing ke Malaysia, lawatan kerja Perdana Menteri dan Tengku Zafrul ke Singapura adalah amat penting bagi Malaysia, khususnya sebagai usaha berterusan untuk terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti tinggi ke dalam negara, yang juga portfolio diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam lawatan itu, Sea Limited memperincikan pelan projek pembesarannya di Malaysia iaitu membabitkan penyelarasan dan penetapan perkhidmatan awan, pemprosesan dan hos data, serta gudang logistik untuk perkhidmatan e-dagang.

Projek perkhidmatan awan Sea Limited akan dibangunkan di kemudahan tiga tingkat dilengkapi dengan teknologi hijau di Kulai, Johor, dengan 24 dewan suite data, bilik M&E, ruang pejabat, serta kemudahan penyimpanan dan tempat letak kereta yang dijangka siap menjelang suku pertama 2024.

Selain itu, platform e-dagang Shopee juga akan mengembangkan operasinya di Malaysia melalui gudang mega baharu yang sedang dibina di Bukit Raja, Klang.

Gudang dua tingkat seluas 1.4 juta kaki persegi itu adalah kemudahan logistik berteknologi tinggi dan bersepadu yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur awan.

Gudang itu juga bakal menjadi antara gudang logistik terbesar di Malaysia.

Kedua-dua projek berkenaan dijangka akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

Mengulas pelaburan baharu daripada Sea Limited, Tengku Zafrul berkata keputusan syarikat Singapura itu untuk mengembangkan strategi pelaburannya di Malaysia jelas mencerminkan keyakinannya terhadap prospek, kestabilan operasi, polisi dan dasar kerajaan serta landskap perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata, perancangan pelaburan asing di dalam pengkomputeran awan dan gudang berteknologi tinggi bakal mencipta lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, yang juga akan membantu dalam meningkatkan kemahiran dan produktiviti, serta daya saing negara dalam jangka panjang.

“Kami juga menjangkakan kesan limpahan yang positif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), korporat dan masyarakat setempat. Manfaat ini termasuk dari segi penyumberan tempatan, pembangunan vendor dan pengukuhan ekosistem perindustrian tempatan khususnya dalam sektor digital.

“MITI dan agensi berkaitan akan terus mempertingkatkan ekosistem perniagaan negara ke arah memastikan Malaysia sentiasa dilihat sebagai sebuah destinasi mesra perniagaan, pelaburan dan perdagangan,” katanya.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sea, Ye Gang, berkata pelaburan terbabot adalah satu perkembangan signifikan bukan sahaja untuk Sea tetapi juga untuk ekosistem digital tempatan.

“Kami berterima kasih di atas sokongan Menteri (MITI) dalam pelan pengembangan dan strategi perniagaan kami.

“Matlamat kami adalah untuk membolehkan dan menyokong pertumbuhan keseluruhan ekosistem (digital), memperkasakan lebih ramai peniaga untuk memperolehi manfaat dari peluang peluang yang akan dicipta oleh inisiatif ini.

“Kami juga komited untuk menyokong penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya,

Semasa misi pelaburan tiga hari itu, Tengku Zafrul juga akan mengadakan pertemuan perniagaan dengan Kumpulan Yondr, peneraju global pusat data dan INSEACT, sebuah syarikat protein alternatif berpangkalan di Singapura, yang menghasilkan protein mampan bagi akuakultur (ternakan udang).

Sehingga kini, Singapura ialah pelabur kedua terbesar di dalam sektor perkilangan dengan 3,475 projek perkilangan yang beroperasi dengan jumlah pelaburan sebanyak RM96.36 bilion (AS$25.4 billion). – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat