KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon masjid dan surau di seluruh negara dapat mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara serta seluruh mangsa yang terjejas banjir.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya amat bersimpati dan sedih dengan musibah yang menimpa mangsa banjir di beberapa negeri yang terkesan sejak beberapa hari lalu.
Justeru, katanya, beliau sudah mengarahkan agensi-agensi dan seluruh jentera Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa selain turun dan membantu mangsa-mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.
“Saya juga akan bersama agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meninjau dan membantu saudara-saudara kita yang terkesan di negeri-negeri terjejas.
“Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur setelah selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun. Lawatan ini telah saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada masa sama, Mohd Na’im menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir.
Setakat pukul 2, sejumlah 25,438 orang dilaporkan terjejas dengan banjir di lima negeri.