Mark positif COVID-19 sekembali misi banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Mark Adam yang disahkan positif COVID-19 sekembali menyertai misi bantuan banjir, minggu lalu.

Bagaimanapun, keadaan penyanyi yang popular menerusi lagu Marry Me dan Pencuri itu masih dalam keadaan terkawal, hanya hilang deria rasa dan bau.

Isteri yang juga pengurusnya, Norazah Redzuan berkata, suaminya yang disahkan positif COVID-19 sejak Sabtu lalu kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Paras oksigen sangat bagus dan terkawal. Suami lebih banyak berehat dalam bilik. Makan dan minuman pula hanya dihantar di depan pintu bilik sahaja.

“Kami hanya berkomunikasi menerusi mesej dan panggilan telefon. Itu cara paling mudah untuk saya tahu keadaan suami.

“Malah, saya memantau keadaannya menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah. Saya harap suami akan kuat dan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya kepada BH Online.

Norazah berkata, dia dan suami terbabit dengan misi bantuan banjir pada Khamis lalu.

“Ketika misi bantuan banjir cuaca panas terik. Kami sempat ke dua lokasi.

“Sekembali daripada misi ini, keadaan suami masih okay dan tiada apa-apa yang berlaku.

“Bagaimanapun, keadaan jadi sebaliknya sehari selepas menyertai misi bantuan banjir pada Jumaat. Suami mula tidak sedap badan dan hidung mula tersumbat,” katanya.

 

Mark yang disahkan positif COVID-19 sejak Sabtu lalu kini menjalani kuarantin kendiri di rumah. - Foto IG Norazah Redzuan
Mark yang disahkan positif COVID-19 sejak Sabtu lalu kini menjalani kuarantin kendiri di rumah. – Foto IG Norazah Redzuan

 

Norazah berkata, mulanya hanya menyangka suami sekadar demam biasa.

“Jadi, suami hanya makan ubat demam. Lagipun sepanjang misi bantuan, suami memakai pelitup muka sepanjang masa.

“Bagaimanapun, suhu badan semakin panas dan lemah pada Sabtu. Saya minta suami melakukan pemeriksaan guna kit ujian kendiri COVID-19 sebanyak dua kali.

“Keputusan ujian itu menunjukkannya positif COVID-19. Namun, saya pula negatif. Saya bawa suami ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan saringan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Antigen). Keputusan tetap sama.

“Saya bawa pula ke hospital berdekatan rumah kerana klinik tidak memberi ubat. Malah, doktor bertugas menyarankan kami datang sekali lagi pada hari bekerja untuk membuat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR),” katanya.

Pagi ini, Norazah dan Mark sekali lagi ke hospital sama untuk melakukan ujian RT-PCR.

“Secara kebetulan, ujian RT-PCR hanya dibuat sebelah siang dari Isnin hingga Jumaat. Jadi, kami datang hari ini.

“Doktor menyarankan kami melakukan RT-PCR ini bagi mendapatkan kesahihan keputusan dengan lebih tepat. Ternyata, keputusan tetap sama,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat