‘Kotoran lumpur ibarat penyucian dosa’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setitik air mata penyanyi otai, Yantzen, 63, tidak tumpah tatkala diuji musibah berat apabila kediamannya di Jalan Kuari Sungai Long, Kampung Sungai Serai, Batu 12, Hulu Langat tenggelam akibat banjir yang melanda kawasan Lembah Klang.

Biarpun berdepan situasi menakutkan apabila terperangkap atas bumbung sambil menahan kesejukan, semalaman berikutan paras air naik mendadak dalam kejadian banjir pada minggu lalu, nyata bekas vokalis Rusty Blade dan May itu cekal dan reda atas takdir yang tertulis buatnya.

Selama beberapa jam mengunjungi Yantzen langsung tidak menunjukkan kegundahan hatinya. Barangkali penyanyi yang pernah meledak menerusi lagu Insan itu cuba menyembunyikan gelodak dalam jiwa dan memilih menjadi kuat kerana hanya itu pilihan yang ada.

Namun, hakikat sebenar gejolak yang bersarang dalam benak fikiran Yantzen atau nama sebenarnya, Yantzen Juniwan itu tiada siapa yang tahu.

Sepanjang kunjungan BH, bapa tunggal kepada seorang cahaya mata itu masih gemar menyakat dan bergurau. Malah, sikapnya yang ‘sempoi’ diakui rakan-rakan yang secara kebetulan berada di rumahnya, kelmarin.

“Air mata boleh diibaratkan peluh yang mengalir pada saat saya dan ramai teman-teman membantu membersihkan rumah daripada kesan lumpur serta kekotoran akibat musibah banjir ini.

“Lumpur dan kekotoran pada setiap inci rumah ini umpama dosa saya. Saya bukan baik, sama sahaja dengan orang lain, tetapi tetap menebal dengan jiwa ‘rock’.

“Jadi, musibah banjir ini menjadikan saya lebih kuat. Reda dan berserah, itu sahaja pilihan yang ada. Apa yang berlaku bukan kehendak saya, namun, ujian Allah yang saya percaya tidak akan pernah berhenti.

“Apa yang dimiliki sejak dahulu hanya pinjaman. Seperti mana bait lirik lagu Insan berbunyi ‘kita adalah insan, menumpang atas dunia’, begitu juga kehidupan saya,” katanya kepada BH Online.

 

Musibah banjir menyebabkan dua kereta, dua motosikal, set teater rumah, televisyen dan pembesar suara milik Yantzen musnah. - NSTP/Aizuddin Saad
Musibah banjir menyebabkan dua kereta, dua motosikal, set teater rumah, televisyen dan pembesar suara milik Yantzen musnah. – NSTP/Aizuddin Saad

 

Hanya santai duduk atas lantai di ruang tamu rumahnya, Yantzen berkongsi, kediaman yang dinamakan The Legacy Villa siap dibina pada 2016. Ia dibina atas tanah yang dibeli dengan harga RM45,000 dan jumlah pengubahsuaian pula mencecah RM140,000.

“Kediaman didirikan di atas tanah ini antara pilihan saya. Saya bina The Legacy Villa selepas menjual rumah di Cheras. Idea hiasan dalaman dan dekorasi rumah juga saya cetuskan.

“Malah, ada juga konsep bahagian rumah ini seperti beranda rumah dan tempat letak kereta diilhamkan daripada contoh kediaman lain di Singapura.

“Idea mewujudkan dinding atau tembok lutsinar ini saya bayangkan bangun pagi dari katil dapatlah intai ‘my wife’ (merujuk kepada kereta).

“Kediaman ini ada tiga bilik. Salah satu bilik dikhaskan untuk anak tunggal, Muhammad Aliff Ronan,” katanya.

Akuinya, kediaman itu mempunyai nilai sentimental buatnya.

“Disebabkan itu, saya tidak pernah terfikir mahu berpindah rumah. Sayang saya pada kediaman yang dibina atas titik peluh ini tiada galang ganti.

“Musibah banjir menyebabkan dua kereta, dua motosikal, set teater rumah, televisyen dan pembesar suara rosak. Bagaimanapun, empat gitar kesayangan terselamat kerana berada pada kedudukan tinggi.

“Jika ditanya berapa anggaran kerugian ditanggung saya tidak boleh cakap dengan tepat. Proses pembersihan dan mengembalikan suasana rumah seperti sedia kala juga akan mengambil masa lama,” katanya.

Tinggal seorang diri sejak hidup menduda kira-kira 17 tahun lalu, Yantzen tidak pernah hidup sunyi.

“Sesekali anak tunggal saya datang bermalam di rumah. Beberapa hari lalu, Muhammad Aliff datang dan membersihkan rumah bersama. Dia tak lupa menghulurkan duit buat saya.

“Besar atau kecil, ia tetap bermakna dan nilai pemberian ibarat lebih daripada itu.

 

Yantzen membersihkan rumah yang ditenggelami air di Kampung Sungai Serai, Batu 12, Hulu Langat. - NSTP/Aizuddin Saad
Yantzen membersihkan rumah yang ditenggelami air di Kampung Sungai Serai, Batu 12, Hulu Langat. – NSTP/Aizuddin Saad

 

“Sebelum kejadian rumah ditenggelami banjir saya bersama beberapa teman yang datang bersembang. Mereka pun terperangkap atas loteng rumah bersama saya ketika menyelamatkan diri.

“Saya bersyukur berterusan menerima mesej langsung dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp yang mendoakan saya terus kuat semangat dan cekal,” katanya.

Meninjau sudut rumahnya, kelihatan botol produk organik dan herba bagi penjagaan rambut serta kulit di bawah jenama, Ayahanda Yantzen Junawi (AYJ) turut rosak.

“Saya mahu mempromosikan produk AYJ ini, sejak tahun lalu. Namun, tertunda akibat pandemik COVID-19 menyerang seluruh dunia.

“Saya baru sahaja mahu berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Ia bermula selepas saya berdepan masalah rambut.

“Saya diperkenalkan seseorang mengenai kelebihan produk bahan semula jadi. Kemudiannya, saya memutuskan untuk menjual sendiri produk yang boleh memberi manfaat ini

“Saya juga mula mendalami selok belok dunia perniagaan selama tiga bulan secara dalam talian,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat