Berhati-hati dengan China, tampak berdiplomatik tetapi sebenarnya neo-kolonis bersifat iblis

- Advertisement -

OLEH: AHMAD ZAIM BIN AHMAD TAWFEK

105 batu nautika dari Kepulauan Palawan, Filipina di kocakan ombak Laut China Selatan agak luar daripada kebiasaan. Di sini letakkan Second Thomas Shoal, atau turut dikenali sebagai Ayungin Shoal menyaksikan ketegangan antara pihak berkuasa Filipina dan China beberapa minggu lalu.

Pada Khamis, kapal pengawal pantai China, cuba menghalang laluan sebuah bot milik Filipina yang dalam perjalanan menghantar bekalan makanan kepada pengawal-pengawalnya yang berada di Second Thomas Shoal.

Ini adalah rentetan daripada beberapa insiden lain antara Filipina dan China. Sebelum ini, bot pengawal pantai China melepaskan bedilan air ke arah pihak berkuasa Filipina dalam usaha menghalang negara berdaulat itu memasuki kawasan perairan zon ekonomi eksklusifnya (EEZ).

Majalah The Diplomat mengelarkan kawasan ini sebagai The New Battleground. Kawasan perairan ini kini menjadi titik panas dalam gelora tidak sudah antara China dan negara-negara rantau Laut China Selatan, termasuk empat negara ASEAN. China menganggap sebahagian besar kawasan perairan di Laut China Selatan adalah miliknya (9-Dash-Line) sementara Vietnam, Brunei, Malaysia dan FIlipina hanya menuntut wilayah perairan yang terletak dalam kawasan zon ekonomi eksklusifnya (EEZ).

Tindakan China ini sangat mengejutkan pada ketika Beijing dan ASEAN pada 13 Julai lalu sudah pun menyatakan persetujuan untuk mempercepatkan rundingan melibatkan code of conduct (COC) di Laut China Selatan.

Ini memberi gambaran jelas bahawa negara besar berkenaan tidak ikhlas, langsung tidak boleh dipercayai dan tidak layak bergelar rakan yang baik bagi ASEAN.

Pada sisi lain, kita harus akui negara-negara ASEAN banyak bergantung kepada China, terutamanya dari segi pelaburan.

Menerusi Belt and Road Initiative (BRI) umpamanya, syarikat-syarikat China banyak melabur untuk membangunkan infrastruktur bukan sahaja di Malaysia malah di pelbagai negara di Asia, Afrika dan Eropah.

Di Asia Tenggara umpamanya, China, menerusi BRI melabur di Vietnam, Timor-Leste, Thailand, Singapura, Filipina, Myanmar, Laos, Indonesia, Kemboja and Brunei.

Inilah yang mengkhuatirkan saya, apabila BRI hanya muslihat China yang bercita-cita menjadi tuan koloni baharu kepada negara-negara yang lemah.

Malaysia bernasib baik kerana berjaya membuat perjanjian yang adil dan saksama dengan China. Tetapi ada juga beberapa negara yang tidak bernasib baik, terperangkap dalam “umpan” BRI, kini tergadai kedaulatannya.

China menggunakan BRI sebagai alat untuk mencipta “perangkap hutang” kepada negara-negara membangun, dengan memberi pinjaman jumlah wang yang besar untuk projek infrastruktur yang mereka tidak dapat bayar balik atau tidak lestari secara ekonomi. Ini boleh menyebabkan China memperoleh daya pengaruh politik atau strategik ke atas negara-negara ini, atau bahkan menyita aset mereka sebagai jaminan.

Menurut Centre For Global Development lapan negara penerima BRI berisiko tinggi menghadapi natijah hutang akibat pinjaman BRI. Antaranya;

– Djibouti: Hutang awamnya meningkat daripada 50% kepada 85% daripada KDNK antara tahun 2016 dan 2018, dengan China memegang 77% daripada hutang luar negaranya. China telah membina pangkalan tentera dan pelabuhan di Djibouti, yang terletak secara strategik berdekatan dengan Lautan Hindi dan Laut Merah.

– Kyrgyzstan: Hutang awamnya meningkat daripada 40% kepada 58% daripada KDNK antara tahun 2013 dan 2016, dengan China penyebab kepada 40% daripada hutang luar negaranya. China telah melabur dalam pembinaan jalan raya, keretapi, dan loji kuasa di Kyrgyzstan, yang merupakan sebahagian daripada laluan Jalur Sutera lama.

– Laos: Hutang awamnya meningkat daripada 53% kepada 59% daripada KDNK antara tahun 2013 dan 2016, dengan China memegang 45% daripada hutang luar negaranya. China sedang membiayai projek laluan keretapi berkelajuan tinggi di Laos yang akan menelan belanja yang setara dengan separuh daripada KDNK negara tersebut.

– Maldives: Hutang awamnya melonjak daripada 34% kepada 68% daripada KDNK antara tahun 2013 dan 2016, dengan China menyumbang kepada 80% daripada hutang luar negaranya. China telah membiayai beberapa projek mega di Maldives, seperti pembesaran lapangan terbang, jambatan, dan pulau tiruan.

Ini adalah beberapa contoh negara dengan peningkatan tanggungan hutang yang ketara.

Kita mempunyai tanggungjawab jelas untuk terus memelihara negara kita daripada terjebak dengan umpan Beijing ini. Kita juga, dalam konteks persaudaraan ASEAN harus sentiasa berpesan kepada saudara-saudara serantau agar terus berhati-hati dengan permainan China ini.

Kalau hari ini kedaulatan dan maruah Filipina dipijak-pijak, bila-bila sahaja perkara sama boleh terjadi kepada Malaysia.

Penulis ialah Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat