KPM Tumpu Pembinaan Sekolah Baharu Di Kawasan Berkepadatan Penduduk

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi keutamaan untuk menyegerakan pembinaan sekolah yang baharu terutama dalam kawasan berkepadatan penduduk tinggi dalam mengatasi isu sekolah sesak seperti yang berlaku di Lembah Klang dan Johor Bharu.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kerajaan melalui kementeriannya sudah pun meluluskan pembinaan sekolah yang baharu di Putrajaya, seperti dalam Pelan Pelaksanaan (RP)4 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, selain projek pembinaan sekolah baharu di Presint 8, KPM turut akan membina tiga kompleks sekolah di Presint 15, Presint 5 (2), Presint 17 (2) bagi sekolah rendah dan menengah sekali.

“Sejak dua tahun yang lalu, seperti mana saya sebut tadi, keutamaan kita, pertama sekali untuk menumpukan pembinaan sekolah baharu dan menyiapkan sekolah terbengkalai yang menyukarkan ibu bapa.

“Kedua, sekolah padat, sebab itu kami memohon banyak permohonan untuk dalam rolling plan RMK-12 , kita utamakan kawasan yang mana jumlah penduduknya tinggi, kepadatan tinggi.

“Ini memang keutamaan kementerian kerana apa kita tiada pilihan bila jumlah penduduk itu meningkat dengan mendadak sekiranya kita biarkan terlalu lama, akan jadi seperti di sini, terpaksa hantar sekolah yang lebih jauh dari kawasan rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek SK Putrajaya Presint 8 (3), di sini, hari ini.

Projek SK Putrajaya Presint 8 (3) dilengkapi 36 bilik darjah dan kelengkapan fasiliti lain seperti padang, dewan serbaguna dan kedudukan sekolah yang strategi bagi mengelakan kesesakan lalu lintas.

Radzi berkata, pembinaan sekolah baharu sejajar dengan demografi di Putrajaya yang mana ramai ibu bapa mempunyai anak masih bersekokah.

“Jadi, bagi memastikan segala perancangan sekolah di sini berjalan lancar, ia dibuat awal supaya tidak berdepan dengan situasi kesukaran mendapat tanah untuk projek sekolah.

“Sekolah baharu ini dijangka siap pada akhir 2023 dan membolehkan anak-anak di sekitar kawasan Presint 8 memasuki sekolah ini pada awal 2024,” katanya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (3), Khalid Mohamed Amdan, 47, berkata kedua anaknya kini menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 11 (2).

“Perjalanan ke sekolah lebih kurang lima hingga tujuh kilometer (km) setiap hari, ini membabitkan kos dan masa untuk ibu bapa yabg tinggal di sekitar Presint 8, di sini.

“Dengan adanya pembinaan sekolah baharu ini di samping kelengkapan kemudahan disediakan, ia dapat memberikan kelegaan pada ibu bapa,” katanya.

Selain itu, seorang ibu, Rima Anggrena Dasrilsyah, 38, berkata pembinaan sekolah baharu itu sejajar dengan lambakan pelajar yang semakin meningkat di Putrajaya.

“Lebih baik setiap Presint di sekitar kawasan ini dilengkapi dengan kompleks sekolah jadi jarak perjalanan untuk anak-anak ke sekolah juga tidak jauh dan memberikan kesan terhadap ibu bapa yang menguruskan mereka”.