ATM Nafi Trak UN Bantu Mangsa Banjir Tapi Misi Pengaman Ke Lubnan

KUALA LUMPUR- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya trak milik United Nations (UN) membawa masuk bantuan banjir kepada Malaysia.

Penafian itu dibuat Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

“TUDM menafikan bahawa penularan video berdurasi 1.00 minit memperlihatkan pergerakan beberapa trak berkapasiti 3 tan berlogokan United Nations (UN) serta berwarna putih atas keterlibatan pertubuhan antarabangsa itu membawa masuk bantuan banjir kepada
Malaysia sepertimana yang ditularkan melalui Facebook peribadi atas nama Jong Senow dan Nazimah Ibrahim, masing-masing pada 24 dan 7 Disember 2021 adalah tidak benar sama sekali.

“Untuk makluman, paparan video tersebut adalah merupakan proses Final Acceptance Test (FAT) yang dilaksanakan oleh ATM sebelum kenderaan tersebut diaturgerakkan ke Lubnan untuk kegunaan Kontinjen MALBATT 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL),” tegas Affendi dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau turut berkongsi video dan teks dinyatakan melalui akaun Facebook Jong Senow iaitu: “Dengar kata UN dah masuk nak bagi bantuan banjir apabila dapat tau NADMA dan kerajaan Malaysia gagal mengatasi masalah banjir. Depa laju prihatin dan ambik cakna apabila mengetahui misi bantuan dan menyelamat banjir di Malaysia didokong oleh dari rakyat ke rakyat. Ini semua anjrrrr. Aku troll je weh taktau la apekebende UN ni ade kat Malaysia. Sampai skrg takde kenyataan rasmi dari PM atau kerajaan Malaysia. Nak kene tekan jugak baru buat kerja atau keluar statement>

Manakala perkongsian video dan teks yang dinyatakan melalui akaun Facebook Nazimah Ibrahim adalah seperti berikut: “Apa gang United Nation ni buat dalam negara kita, nii…? Rasa tak sedap hatii aja ni. Katanya di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat…?
Sebelum ni katanya gang UN ni kelihatan terlihat di Perak. Mudah-mudahan ALLAH lindungi penduduk dan negara ini dari sebarang
marabahaya atau keburukan. Aamiiin.

Susulan hantaran tersebut Affendi meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh di dakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.