2,757 Kes Baharu Covid, 4,620 Pesakit Sembuh Hari Ini – KP Kesihatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,757 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kini 2,743,936.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, hanya 40 dalam kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya adalah kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

“Kes harian itu melibatkan 2,594 kes tempatan dan 163 kes import selain 297 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 169 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19.

Beliau berkata bagi kes sembuh pula, sebanyak 4,620 kes dicatatkan menjadikan kumulatif pesakit pulih ialah 2,669,654.

Tujuh kluster baharu dikesan menjadikan jumlah yang masih aktif ialah 223 manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.90 setakat semalam.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 429 kes COVID-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir membabitkan 11 di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 3 petang tadi.

Beliau berkata terdapat satu kluster komuniti pertama melibatkan penularan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di sebuah PPS di Bentong, Pahang telah dilaporkan hari ini.

“Kes indeks bagi Kluster Karak Setia ini merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia yang dikesan positif pada 19 Dis 2021 melalui saringan individu bergejala. Kes mula bergejala demam, batuk, selesema dan hilang deria bau sejak 18 Dis 2021,” katanya.

Setakat 12 tengah hari ini, beliau berkata seramai 104 individu dalam kluster itu telah disaring dengan 10 daripadanya dikesan positif COVID-19 manakala punca penularan disyaki pergaulan dalam kalangan mangsa banjir di PPS dan kesemua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan daripada mangsa banjir lain.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 99 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir melibatkan 51 jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), 39 penyakit kulit dan sembilan lagi gastroenteritis akut. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat