Parti MUDA Dikompaun RM4,000, Langgar SOP & Bersesak Dalam Sidang Media

- Advertisement -

MELAKA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dikompaun RM4,000 selepas mengadakan sidang media berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di bangunan Stadthuys, di sini pada Rabu.

Kompaun itu dikeluarkan susulan penganjuran berkenaan dikatakan menyebabkan hampir 40 individu berhimpun sehingga menyukarkan kawalan penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kompaun itu dikeluarkan kepada penganjur program, yang juga Pegawai Media Muda Melaka, Muhammad Adly Farhan Abdullah.

“Pihak polis telah menasihatkan penganjur untuk memberhentikan program tersebut kerana SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 bertarikh 24 Oktober lalu, melarang apa-apa program berkaitan PRN Melaka mulai 25 Oktober sehingga 27 November depan.

Ujar Afzanizar, polis kemudian memanggil penganjur sidang media berkenaan untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebelum kompaun dikeluarkan.

“Penganjur itu kemudian dimaklumkan telah melakukan kesalahan di bawah peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Pihak polis juga kemudian telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM4,000 kepada individu berkenaan kerana menganjurkan sidang media yang berkaitan PRN Melaka yang telah menyebabkan orang ramai berhimpun,” tambahnya.

Terdahulu pada sidang media itu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memaklumkan parti itu akan bertanding dalam PRN pada bulan depan.

Jelasnya pada sidang media yang berlangsung kira-kira 10 minit itu, ketika ini rundingan sedang diadakan bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menentukan soal agihan kerusi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan media sebelum ini, memaklumkan aktiviti perhimpunan serta majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan bermula 25 Oktober sehingga 27 November depan.

PRN Melaka bakal melibatkan 495,196 pengundi di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat