Ada karya yang sekadar menghiburkan, namun ada juga yang meninggalkan rasa sehingga penonton terus membawanya pulang selepas tirai dilabuhkan. Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical 2026 ternyata bukan sekadar sebuah persembahan teater, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan sejarah, budaya dan persahabatan dua negara.
Keistimewaan itu semakin terasa apabila dua nama besar industri perfileman Indonesia, Christine Hakim dan Reza Rahadian, sanggup terbang dari Jakarta khusus untuk menyaksikan sendiri pementasan muzikal berkenaan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC).
Bagi pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina, kehadiran dua sahabat baik itu bukan sekadar kunjungan biasa. Lebih-lebih lagi Christine yang pernah menghidupkan watak Bayan menerusi filem Puteri Gunung Ledang pada 2004, akhirnya berpeluang melihat karya yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya kembali bernafas di pentas.
Tiara sendiri tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila mengetahui kesudian mereka meluangkan masa untuk hadir, apatah lagi Christine mempunyai tempat cukup istimewa dalam sejarah perjalanan PGL.
“Hadirnya Reza bersama Ibu Christine menjadi satu inspirasi besar kepada seluruh keluarga Puteri Gunung Ledang, terutama saya sendiri.
“Christine dan Reza merupakan teman baik saya dan saya pun tidak sangka mereka sanggup meluangkan masa untuk datang menyaksikan persembahan kami. Christine sangat istimewa bagi saya,” katanya.
Bagi Christine, kekuatan PGL bukan hanya terletak pada keindahan muzik, lakonan mahupun tata pentasnya, tetapi pada kemampuan Tiara mempertahankan jiwa sebuah karya yang sudah berusia lebih dua dekad.
Pada usia 69 tahun, aktres legenda itu mengakui kagum melihat bagaimana semangat dan rasa yang menjadi nadi PGL masih dapat dirasai menerusi pementasan terbaharu.
“Saya dapat merasakan energi keseluruhan pementasan ini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Tiara selama lebih 22 tahun ini mampu menjaga tenaga dan ‘rasa’ PGL. Saya rasa itu hal yang paling sukar,” katanya ketika ditemui pada pementasan malam ke-18.
Namun, ada satu lagi perkara yang cukup menyentuh hati Christine, iaitu melihat Mila Mohsin kini berdiri di pentas sebagai Puteri Gunung Ledang, meneruskan legasi watak yang pernah dipikul Tiara.
Malah, Christine secara berseloroh mengakui yakin Mila mampu membawa karakter itu dengan lebih baik daripada ibunya sendiri.
Katanya, dia sudah mengenali Mila sejak berusia tujuh tahun ketika mereka bersama-sama menjalani penggambaran filem PGL. Kini, selepas 22 tahun berlalu, melihat Mila menghidupkan watak utama di pentas seolah-olah membawa kembali kenangan lama dalam wajah generasi baharu.
“Saya kenal Mila sejak usia dia tujuh tahun, saat kami menjalani pembikinan filem PGL. Itu sudah 22 tahun lalu dan sekarang Mila berumur 29 tahun.
“Melihat Mila di pentas, dia juga seperti ibunya, sangat serius dan fokus. Saya seperti melihat versi Tiara yang baharu dalam sosok Mila di PGL. Mila persis ibunya,” katanya.
Buat Christine, kesinambungan itu membuktikan sesebuah karya tidak semestinya berhenti pada satu generasi. Ada kalanya, sebuah watak mampu terus hidup apabila diwariskan kepada mereka yang datang kemudian.
Lebih jauh daripada nostalgia, Christine turut melihat PGL sebagai peluang untuk mengingatkan masyarakat, khususnya generasi muda, tentang hubungan sejarah dan budaya yang telah lama menyatukan Malaysia dan Indonesia.
Baginya, kedua-dua negara bukan sekadar berjiran dari segi geografi, tetapi berkongsi akar sejarah, warisan dan nilai kehidupan yang begitu dekat. Justeru, karya seperti PGL mempunyai kekuatan untuk merapatkan kembali hubungan tersebut melalui bahasa seni.
Pandangan itu turut dikongsi Reza Rahadian, 39, yang menyifatkan pengalaman menyaksikan PGL sebagai sesuatu yang indah dan menakjubkan.
Menariknya, kehadiran Reza hampir tidak menjadi kenyataan apabila dia berdepan kesukaran mendapatkan tiket. Mujur Christine berjaya membantunya mendapatkan tempat untuk menyaksikan pementasan yang mendapat sambutan hangat itu.
“Indah, menakjubkan. Saya gembira kerana akhirnya dapat menonton PGL, hampir gagal tidak mendapat tiket.
“Saya harus ucapkan terima kasih kepada Ibu kerana beliau mendapatkan tiket buat saya,” katanya.
Bagi Reza, kehadiran mereka bukan sekadar untuk memberikan sokongan kepada Tiara sebagai sahabat, tetapi kerana mereka sendiri mahu menikmati sebuah karya yang mempunyai kekuatan tersendiri.
Malah, aktor itu melihat kejayaan PGL sebagai satu petanda positif buat perkembangan seni teater tempatan. Dengan skala produksi dan sambutan penonton yang begitu besar, beliau berharap kejayaan tersebut dapat membuka lebih banyak ruang kepada penggiat seni untuk menghasilkan muzikal bertaraf tinggi.
“Melihat ribuan penonton yang telah menonton dan ribuan lagi yang masih menunggu, saya berharap ini boleh menjadi lokomotif untuk sebarang syarikat teater lain.
“Dengan skala yang dipersembahkan, ini menjadi standard dan semoga ini menjadi harapan serta cahaya di sebalik Gunung Ledang yang boleh mendorong lebih banyak muzikal pada masa akan datang,” katanya.
Malah, Reza turut menyimpan impian untuk melihat PGL dibawa ke Indonesia menerusi kerjasama seni yang lebih besar antara kedua-dua negara.
Baginya, kisah yang mengangkat latar sejarah Melaka dan Majapahit itu cukup menarik untuk diterjemahkan dalam sebuah produksi bersama, dengan penglibatan penggiat seni dari Malaysia dan Indonesia.
Beliau membayangkan watak serta latar Melaka dapat diwakili oleh barisan produksi Malaysia, manakala elemen Majapahit pula melibatkan tenaga seni dari Indonesia.
“Saya rasa itu akan menjadi sesuatu yang menarik. Saya rasa itu akan menjadi sebuah kolaborasi yang indah,” katanya.
Jika hasrat itu menjadi kenyataan, PGL bukan sahaja akan mengembara ke pentas antarabangsa, malah berpeluang menjadi wadah yang menyatukan dua tradisi seni dalam sebuah penceritaan yang mempunyai akar sejarah bersama.
Untuk rekod, perjalanan PGL bermula menerusi filem arahan Saw Teong Hin yang ditayangkan pada 2004, menampilkan Tiara sebagai Gusti Puteri Retno Dumilah dan Christine sebagai Bayan.
Kejayaan filem berkenaan kemudian membawa kepada kelahiran Puteri Gunung Ledang The Musical yang mula dipentaskan di Istana Budaya pada 2006. Selepas melalui beberapa musim pementasan, karya ikonik terbitan Enfiniti itu kembali menemui penonton pada 2026 di bawah arahan Tiara, dengan Mila meneruskan watak Puteri Gunung Ledang.
Kebangkitan semula karya ini turut disambut luar biasa apabila kira-kira 23,000 tiket bagi 16 pementasan dilaporkan habis terjual dalam tempoh kurang dua jam, sekali gus membuktikan kisah legenda itu masih mempunyai tempat istimewa di hati penonton.
Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 dijadualkan meneruskan pementasannya di JCPAC sehingga 17 November ini sebelum kembali ke Singapura untuk memenuhi permintaan peminat di sana.
Sementara kemungkinan musim baharu di Kuala Lumpur pada 2027 dan jelajah kebangsaan masih dalam peringkat perancangan awal, satu perkara yang pasti, PGL sudah meninggalkan jejak yang lebih besar daripada sekadar sebuah persembahan pentas.
Ia adalah kisah tentang warisan yang tidak pernah kehilangan makna, persahabatan yang merentasi sempadan dan seni yang mampu menyatukan manusia tanpa perlu berbicara dalam bahasa yang sama.
Kerana sesungguhnya, legenda tidak hanya hidup melalui cerita yang diwariskan, tetapi melalui hati mereka yang terus percaya dan menghidupkannya.
Dan di sebalik Gunung Ledang, kisah itu masih belum selesai.



