KUALA LUMPUR – Eksport oleokimia Malaysia meningkat sebanyak 12.6 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, mencerminkan daya tahan industri hiliran sawit negara dalam menghadapi persaingan pasaran antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terus memperkukuh daya saing industri menerusi pembangunan oleokimia khusus dan produk bernilai tambah tinggi serta peluasan akses pasaran.
Menurut beliau, pengimport di India menikmati kadar duti import yang lebih rendah bagi minyak sawit mentah berbanding minyak sawit diproses.
Bagaimanapun, industri hiliran sawit Malaysia kekal mempunyai asas yang kukuh serta pasaran eksport yang pelbagai.
Beliau menjelaskan perkara itu menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 12 November lalu.
Bagi memperkukuh kedudukan industri, KPK mempercepat peralihan daripada oleokimia asas kepada oleokimia khusus melalui penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C), selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN 2030).

KPK turut menggalakkan pemain industri tempatan memanfaatkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia–India (MICECA) bagi mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif serta meneroka pasaran produk bernilai tambah tinggi di India.
Mengenai potensi pasaran India, Noraini memaklumkan AWL Agri Business Limited (AWL), pengimport minyak sawit terbesar di negara itu, mengimport hampir 1.5 juta tan minyak sawit setiap tahun dengan kira-kira 70 peratus diperoleh dari Malaysia.
Jumlah itu mencerminkan potensi pasaran jangka panjang yang signifikan bagi minyak sawit Malaysia, khususnya untuk memenuhi permintaan industri makanan dan pemprosesan minyak sayuran di India.
Bagaimanapun, pengembangan kapasiti oleokimia AWL di India turut berpotensi meningkatkan persaingan kepada pengeluar dan pengeksport oleokimia Malaysia, khususnya bagi produk oleokimia asas.
Sehubungan itu, pembangunan oleokimia khusus dan produk bernilai tambah tinggi serta peluasan akses pasaran terus menjadi tumpuan KPK bagi memperkukuh daya saing industri hiliran sawit negara.
Sebagai latar, Bernama pada September lalu melaporkan AWL mengimport minyak sawit mentah untuk ditapis di kemudahannya di seluruh India bagi membekalkan keperluan pengguna dan pengilang makanan.
Syarikat itu turut memanfaatkan hasil sampingan rantaian pemprosesan sawit bagi menghasilkan produk oleokimia termasuk bahan asas sabun, gliserin dan stearin.
India dianggarkan menggunakan antara 25 juta hingga 26 juta tan minyak makan setahun, dengan minyak sawit menjadi antara komponen utama selain minyak kacang soya dan bunga matahari.
Oleokimia pula ialah bahan kimia yang dihasilkan daripada minyak dan lemak, termasuk minyak sawit, untuk digunakan dalam pembuatan pelbagai barangan harian seperti sabun, detergen, kosmetik dan produk penjagaan diri.
Oleokimia asas seperti asid lemak dan gliserin juga boleh diproses menjadi oleokimia khusus, iaitu bahan yang dibangunkan untuk fungsi tertentu dalam sesuatu produk dan mempunyai nilai tambah lebih tinggi.



