CYBERJAYA – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan ketika ini belum ada keperluan penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri ini, lapor portal Utusan.
Beliau berkata, hal itu kerana kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) ditubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Alhamdulillah, Johor mempunyai hubungan kerjasama baik dengan kerajaan Persekutuan, saya secara peribadi selalu berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani pelbagai isu bagi membantu rakyat Johor walaupun ini kerajaan BN.
“Namun kita tetap berlaku adil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dimana semua keperluan mereka dibantu, malah mereka juga menerima peruntukan sama seperti ADUN BN.
“Jadi bagi saya, tiada (keperluan rombakan exco). Tetapi saya maklum permintaan pihak mereka (PH), itu pun melalui laporan-laporan berita. Tiada pertemuan rasmi yang dibuat berhubung perkara ini.
“Thing’s are stable at the moment, and I think tak perlu ada perubahan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Mini Karnival Maju Johor yang diadakan di Kota Iskandar, hari ini.
Memetik laporan sama, Onn Hafiz bagaimanapun berkata pihaknya kekal bersikap terbuka dimana perbincangan berhubung perkara itu sepatutnya dilakukan secara tertutup dan bukan melalui media massa.
“Daripada segi rombakan exco ini, ia bukan semudah itu. Tak kan saya nak buang tiga exco BN. Apa pun Johor ada cara Johor.
“Jadi apabila melibatkan soal seperti tukar exco atau tukar Menteri Besar, semestinya perkara itu perlu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” jelasnya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan meminta agar kerajaan Johor melakukan rombakan terhadap barisan exco dengan memberikan tiga jawatan itu kepada ADUN PH.
Perkara sama turut disuarakan Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching yang memberitahu sudah tiba masa kerajaan Johor menerima wakil daripada PH yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam barisan Exco kerajaan negeri.