Dari Dikir Barat ke dunia AI: Izzuddin bukti Gen Z mampu cipta kelainan

Oleh Zihan Zari

IPOH – Siapa kata generasi muda hanya dekat dengan dunia digital dan teknologi? Bagi Izzuddin Ezairy Ezshuhaidy, kecintaan terhadap seni warisan tradisional dan minat terhadap teknologi moden boleh bergerak seiring, malah menjadi kelebihan dalam membentuk identiti diri sebagai mahasiswa yang versatil.

Izzuddin pelajar Semester 5 Diploma Teknologi Maklumat (Sistem Rangkaian) di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Politeknik Ungku Omar (PUO) telah membuktikan bahawa menjadi anak muda yang progresif bukan bermakna perlu meninggalkan warisan budaya, sebaliknya berupaya menggabungkan nilai tradisi dengan pemikiran inovatif.

Beliau menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Kelab Dikir Barat Warisan Pusaka di bawah Lantera Seni PUO, dan memimpin seramai 30 ahli kumpulan yang aktif mengangkat seni persembahan tradisional Melayu, khususnya Dikir Barat.

Antara pengalaman paling bermakna sepanjang penglibatannya, apabila diberi kepercayaan mengetuai persembahan kumpulan itu menerusi Konsert Citra Irama Warisan di pentas Malam Kebudayaan sempena Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2026 yang telah berlangsung dari 18 hingga 20 September lalu di Stadium Indera Mulia, dekat sini.

Baginya, peluang membuat persembahan di pentas berskala besar bukan sekadar pengalaman beraksi di hadapan khalayak, tetapi menjadi medan sebenar untuk menguji kemampuan diri sebagai seorang pemimpin.

Menguruskan 30 ahli dengan komitmen, karakter dan tanggungjawab berbeza memerlukan kesabaran, komunikasi berkesan serta disiplin yang tinggi, apatah lagi apabila perlu memastikan setiap sesi latihan dan persediaan persembahan berjalan lancar tanpa mengabaikan tuntutan akademik.

Pengalaman itu secara tidak langsung membentuk keyakinan diri, kemahiran membuat keputusan dan semangat kerja berpasukan yang menjadi antara aset penting dalam perjalanan beliau sebagai mahasiswa.

Namun, keistimewaan Izzuddin tidak terhenti di pentas seni. Di sebalik kecintaannya terhadap warisan budaya, beliau turut membuktikan kemampuan dalam bidang teknologi apabila bersama kumpulannya membangunkan projek tahun akhir berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang berjaya meraih tempat kedua dalam kategori Innovation and Creativity Exhibition pada ICE JTMK 2026.

Projek bertajuk ‘AI-Enabled Wildlife Monitoring System for Smart Agriculture’ telah mengetengahkan penggunaan teknologi AI bagi membantu memantau kehadiran haiwan liar yang berpotensi merosakkan tanaman di kawasan pertanian.

Menerusi integrasi kamera dan teknologi AI, sistem berkenaan dibangunkan untuk menganalisis imej serta mengenal pasti haiwan yang memasuki kawasan pemantauan, termasuk babi hutan dan monyet.

Inovasi itu berpotensi membantu pengusaha ladang memperoleh maklumat lebih awal mengenai kehadiran haiwan liar, sekali gus membolehkan tindakan pencegahan dirancang dengan lebih sistematik bagi mengurangkan risiko kerosakan tanaman.

Menariknya, projek berkenaan memperlihatkan bagaimana ilmu teknologi maklumat yang dipelajari di bilik kuliah boleh diterjemahkan kepada penyelesaian yang mempunyai nilai praktikal kepada masyarakat dan sektor industri.

Pengalaman Izzuddin membangunkan projek inovasi itu turut membuka ruang untuk memahami bagaimana teknologi bukan sekadar alat kemudahan digital, sebaliknya mampu menjadi pemangkin kepada penyelesaian masalah sebenar.

“Bagi saya, tradisi dan teknologi bukan dua perkara yang perlu dipisahkan. Dikir Barat membentuk saya sebagai pemimpin, manakala bidang teknologi membuka ruang untuk saya berkarya dan mencipta sesuatu yang baharu.

“Saya mahu menjadi graduan yang bukan sahaja mahir dengan teknologi, tetapi juga mempunyai jati diri, berani mencuba dan mampu membawa perubahan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, penglibatan pelajar dalam bidang seni, kebudayaan dan inovasi teknologi mencerminkan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik dan kemahiran teknikal, malah turut memberi perhatian kepada pembentukan sahsiah serta kemahiran insaniah.

Menurut beliau, mahasiswa perlu diberikan ruang dan peluang untuk meneroka pelbagai bidang mengikut kecenderungan serta bakat masing-masing kerana pengalaman di luar bilik kuliah mampu membina keyakinan diri, daya kepimpinan, kreativiti dan keupayaan bekerja dalam pasukan.

Beliau turut berharap pencapaian seperti yang ditunjukkan Izzuddin dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus berani mencuba, menyerlahkan potensi diri dan memanfaatkan ilmu yang dipelajari bagi menghasilkan inovasi yang memberi nilai tambah kepada masyarakat serta industri.

“PUO komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyokong pembangunan bakat mahasiswa secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing, berfikiran kreatif dan mempunyai jati diri yang kukuh, ”katanya.

Gabungan dua bidang yang berbeza itu membentuk pengalaman pembelajaran yang cukup bermakna buat diri Izzuddin. Jika Dikir Barat mengajarnya tentang nilai warisan, kesepakatan dan kepimpinan, dunia teknologi pula mengasah kreativiti, pemikiran kritis serta keupayaan mencipta sesuatu yang baharu.

Kisah Izzuddin membawa mesej bahawa generasi muda tidak perlu memilih antara tradisi dengan teknologi untuk menyerlah. Kedua-duanya boleh menjadi kekuatan yang saling melengkapi dalam membentuk jati diri, kepimpinan dan daya saing mahasiswa.

Bagi mahasiswa berusia 20 tahun itu, kecemerlangan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik atau kemenangan dalam pertandingan, malah melalui keberanian meneroka potensi diri, memimpin orang lain dan menggunakan ilmu untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat.

Daripada paluan rebana dan alunan Dikir Barat hinggalah kepada algoritma AI, Izzuddin membuktikan bahawa anak muda hari ini mampu mengekalkan akar budaya sambil melangkah yakin ke arah masa depan yang lebih digital dan inovatif. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat