‘Mantera’ Kunto Aji ubati keresahan jiwa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menghayati bait-bait lirik lagu dendangannya sudah mampu membuatkan seseorang lapang dan tenang, meskipun berdepan ujian getir.

Ia kerana lirik lagu ciptaan penyanyi dan penulis komposer kelahiran Yogyakarta, Kunto Aji mampu membuatkan hati gundah beransur senang. Tidak ubah mantera, ayat yang diungkapkan memberi kelegaan kepada kesakitan.

Begitulah dirasai kira-kira 900 penonton yang hadir ke Konsert Fabulous Friday: Kunto Aji yang dibawa oleh Shiraz Projects Sdn Bhd yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), baru-baru ini.

Membuka tirai persembahan buat kali pertama di Kuala Lumpur dengan lagu Jakarta Jakarta yang dipetik daripada album yang dinobatkan sebagai Anugerah Album Terbaik-Terbaik, Anugerah Musik Indonesia pada 2019 iaitu Mantra Mantra, Kunto memukau dengan caranya tersendiri.

Diteruskan lagu Konon Katanya, Kunto pantas menghangatkan suasana apabila menyuruh penonton berdiri.

Namun, tiada seorang pun tidak berbuat demikian, sebaliknya ada yang berjoget mengikut rentak muzik pop dialunkan.

Melihat sambutan positif membuatkan hati kecil Kunto tersentuh sehingga hampir menitiskan air mata disebabkan melihat semangat setiap penonton.

Melampaui jangkaannya, penyanyi berusia 35 tahun itu mengakui sangat terharu dengan sokongan diterima di Malaysia.

“Saya sangat puas, malam ini. Jujurnya, saya terkejut sehingga membuatkan suara tersekat. Saya sedikit beremosi malam ini kerana banyak hal yang berat dilalui, tahun ini.

“Akhirnya, ada satu perkara boleh diraikan pada malam ini.

“Terima kasih, saya senang berada di Kuala Lumpur bersama anda. Ia adalah malam sangat istimewa. Terima kasih juga ‘berperang’ dalam berebut tiket untuk menonton persembahan saya,” katanya.

Terdahulu, konsert Kunto Aji habis dijual dalam tempoh 30 minit selepas dilancarkan pada 28 Julai lalu.

 

Kunto memukau 900 penonton dengan lagu-lagu terapi jiwa.
Kunto memukau 900 penonton dengan lagu-lagu terapi jiwa.

 

Dengan iringan lima pemuzik yang juga sahabatnya yang diterbangkan khas dari Bandung, Kunto menyampaikan 17 lagu, kebanyakannya daripada album Mantra Mantra.

Ini termasuk Akhir Bulan, Topik Semalam, Salam Pada Rindu, Mercusuar, Amatiran dan Ekpetasi.

Tidak ketinggalan lagu popularnya seperti Rancang Rencana, Saudade, Pengingat, Terlalu Lama Sendiri, Selaras, Pilu Membiru dan Rehat.

Cuma, agak mengecewakan apabila Kunto tidak menyanyikan sendiri lagu pertama yang menaikkan namanya dalam industri muzik Indonesia iaitu Terlalu Lama Sendiri.

Kunto lebih selesa membiarkan 900 peminat melaungkan lagu berkenaan bersamanya.

Bagi peminat yang hadir menyaksikan Kunto beraksi di hadapan mata, sudah tentu mahu mendengar Kunto menyampaikan lagu Terlalu Lama Sendiri secara langsung.

Namun, kata Kunto, Terlalu Lama Sendiri adalah lagu yang paling bosan buatnya.

“Ini adalah single pertama dihasilkan. Sejujurnya ia adalah lagu yang paling bosan sebab mungkin kerana sudah lebih 1,000 kali saya menyanyikannya,” katanya.

Lagu Terlalu Lama Sendiri dianggap istimewa dalam perjalanan seni Kunto. Ia dikeluarkan selepas enam tahun dirinya berkecimpung dalam industri muzik.

Sebelum muncul dengan lagu berkenaan, Kunto banyak menabung dan hanya setahun kemudian barulah terhasil lagu Terlalu Lama Sendiri disebabkan pernah diuji penyakit batu hempedu. Di situ, banyak wangnya dihabiskan untuk membiaya perubatan.

Daripada perancangan mengeluarkan album, bekas peserta Indonesian Idol pada 2008 itu hanya mampu menghasilkan satu single, iaitu Terlalu Lama Sendiri.

Namun, Kunto bersyukur usahanya selama enam tahun berbaloi apabila lagu Terlalu Lama Sendiri menjadi trending, diminati ramai sehingga mengangkat namanya.

 

Kunto bakal muncul dengan album ketiga, namun, masih belum boleh berkongsi konsep yang tepat.
Kunto bakal muncul dengan album ketiga, namun, masih belum boleh berkongsi konsep yang tepat.

 

Semangat positif itulah yang banyak diterapkan dalam karya yang dihasilkan.

Disebabkan itu, biarpun persembahan ringkas, malah penampilannya juga sederhana dengan memakai baju berwarna krim, Kunto tetap berjaya memukau penonton.

Jika mengikuti perjalanannya, pasti tahu Kunto atau nama sebenarnya, Kunto Aji Wibisono gemar menghasilkan lagu bagi mengubat kesakitan mereka yang berdepan masalah kesihatan mental.

Seperti lagu Sulung dan Rehat yang disifatkan sebagai zikir dan terapi jiwanya sendiri.

“Ya, seperti zikir adalah Sulung dan saya juga menciptakan Rehat untuk diri sendiri. Saya terapkan lirik positif yang dipelajari daripada beberapa guru. Saya cuba masukkan semuanya dalam muzik pop.

“Sememangnya, saya bersikap jujur dalam karya dihasilkan. Saat menulis karya dalam album Mantra Mantra, saya sedang menjalani rutin proses terapi.

“Ini sebenarnya proses, sebuah monolog berbicara dengan diri sendiri. Ternyata, pada akhirnya, orang lain juga berasakannya,” katanya.

Ditemui di belakang pentas selepas konsert, Kunto tidak menolak sekiranya diberikan peluang kembali mengadakan persembahan di Malaysia.

“Sepatutnya, saya akan mengadakan satu lagi persembahan pada 18 Ogos lalu, tetapi saya perlu ke kota lain, jadi tidak mungkin ia boleh diadakan.

“Saya berharap dapat kembali ke Malaysia. Jujurnya, pada awal saya tidak terlalu percaya pada diri sendiri bahawa ada peminat mahu menonton persembahan di sini.

“Alhamdulillah, saya terkejut apabila diberitahu tiket habis dijual dalam tempoh 30 minit.

“Saya sangat gugup kerana prestasi saya agak menurun disebabkan jadual terlalu padat.

“Jadi, pastinya saya berharap boleh kembali dengan persiapan lebih baik,” katanya yang hanya sempat membuat persiapan dalam tempoh sebulan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat