Skop Dikurang & Dipindah Ke Projek Lain, Kemudian PH ‘Claim’ Jimat Kos Projek – Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Di sebalik isu rundingan terus 101 perolehan kerajaan yang bernilai RM6.61 bilion didedahkan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu turut membuktikan penipuan dan kegagalan Pakatan Harapan (PH) berhubung projek fasa 2 Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Di Lembah Klang (KVDT2).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, KVDT2 merupakan projek kritikal untuk menaik taraf perkhidmatan KTM Komuter yang dilaksanakan oleh KTMB secara berperingkat supaya lebih banyak tren boleh digunakan atas landasan yang sudah 25 tahun.

Projek itu dilaksanakan untuk meningkatkan keselamatan KTM Komuter dan tren lain supaya tidak lagi berlaku tren tergelincir.

Namun, kerja naik taraf ini amat rumit kerana kerja menukar dan membina laluan berkembar dilakukan ke atas landasan elektrik yang tidak boleh ditutup sepenuhnya kerana KTM Komuter sentiasa perlu bergerak, dedah Najib.

Oleh yang demikian, mesin dan peralatan yang amat khusus perlu digunakan tetapi tidak semua syarikat memiliki peralatan ini kerana harganya menelan harga ratusan juta ringgit.

Disebabkan itu Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada syarikat usaha sama (JV) – Dhaya Maju dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk melaksanakan projek fasa pertama membabitkan jarak 42km dari Rawang ke Salak Selatan dan Sentul ke Simpang Batu serta menaik taraf 10 stesen atas landasan tersebut.

”Projek fasa 1 bermula pada akhir tahun 2016 dan dijangka siap pada bulan Januari 2019. Pada masa PH mengambil alih kerajaan selepas PRU14, projek fasa 1 sudah 60% selesai,” kata Najib yang turut memaklumkan kerjasama dengan LTAT itu membolehkan ia menjana pendapatan supaya dividennya tidak sangat rendah seperti 2.0% (2018) dan 2.5% (2019) semasa di bawah PH.

Memandangkan fasa 1 sedang disempurnakan dengan baik masa itu dan keperluan untuk mempercepatkan kerja menaik taraf perkhidmatan KTM Komuter, keputusan untuk memberi fasa 2 kepada syarikat yang sama telah dibuat kerajaan BN dahulu sebelum PRU14.

”Namun PH mengganggu projek tersebut selepas PRU14 kerana tuduh projek ini adalah projek songlap maka projek telah terlambat. (Bagaimanapun sepanjang masa PH menyiasat, tidak pernah ada sebarang tuduhan atau dakwaan bahawa projek ini ada unsur rasuah).

”Fasa 1 yang sepatutnya siap pada tahun 2019 telah dilambatkan ke Januari 2020 pada mulanya dan akhirnya ke Januari 2021 seperti diumumkan Menteri PH pada awal tahun ini.

”Projek fasa 2 (yang sudah 3 peratus siap pada masa PRU14) juga telah dibatalkan oleh PH dengan alasan kos terlalu mahal, tempoh 7 tahun diberi terlalu lama dan projek diberikan secara rundingan terus.

”Walaupun PH berjanji akan membuat tender terbuka untuk projek fasa 2, ianya tidak pernah dibuat,” katanya.

Selepas lama mengkaji dan mendapati tiada pilihan lain, kata Najib, Kerajaan PH memberikan projek fasa 2 semula melalui rundingan terus kepada syarikat JV yang sama hampir setahun selepas ianya dibatalkan.

Projek diberi kepada syarikat yang sama dengan tempoh masa yang sama iaitu tujuh tahun dan juga secara rundingan terus walaupun PH dulu menggunakan semua faktor ini sebagai alasan untuk membatalkannya.

Najib mendakwa, PH menipu apabila menyatakan kos projek berkenaan dapat diturunkan 15 peratus kerana kos pembinaan yang menurun disebabkan skop kerja telah dikurangkan dan memindahkan kos kepada projek lain.

”Korang kurangkan kos dan pindahkan skop projek untuk ditanggung projek lain, tentulah kos turun. Tapi akhirnya kerajaan masih perlu bayar. Lagi parah ialah projek KVDT2 ini memberi impak kepada perkhidmatan dan pendapatan KTMB selagi projek tidak siap.

”Akhirnya, apa yang negara dapat dari kegagalan PH? Transformasi pengangkutan awam Lembah Kelang bersepadu untuk mengurangkan kesesakan trafik juga dilambatkan dua tahun.

”KTM Komuter perlu menanggung kehilangan pendapatan 40% sepanjang masa projek KVDT tidak siap. Pendapatan dan dividen LTAT kepada pesara juga terjejas selama dua tahun. Kos yang ditanggung kerajaan tetap sama kerana dipindah ke projek lain..

”Rakyat, KTMB dan negara akhirnya rugi dan disusahkan kerana PH gagal,” kata Najib. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat