Zahid Saman Fitnah Terhadap Tun M

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan saman fitnah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menafikan perjumpaan dan perbincangan siasatan rasuah ke atasnya.

Dr Mahathir selaku defendan melantik Tetuan Haidir & Co sebagai peguam yang bertanggungjawab untuk mengendalikan kes ini bagi pihak beliau.

Menurut peguamnya, bekas Perdana Menteri
menafikan setiap dakwaan dan tuntutan fitnah seperti yang dinyatakan oleh plaintif (Zahid).

“Ingin dimaklumkan di sini bahawa anak guam kami tidak berganjak bahawa kenyataan yang telah dinyatakan oleh beliau adalah benar dan memelihara hak beliau untuk memfailkan tuntutan balas jika perlu di mahkamah kelak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan arahan selanjutnya untuk pendengaran kes ini berkaitan permohonan Interim Injunksi Plaintif pada 17 Jun 2022, jam 9.00 pagi.

Mahkamah juga menetapkan tarikh yang sama bagi pengurusan kes saman plaintif tersebut.

Pada 23 Februari lalu, Dr Mahathir mendedahkan dalam pertemuan yang berlaku sebelum beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua, Presiden UMNO itu bertandang ke rumahnya bersama beberapa orang lain.

“Pada masa itu, ada kemungkinan saya jadi Perdana Menteri, sebab itu dia ingin baik dengan saya. Tapi saya dah tahu, masalah Zahid ialah dia ada kemungkinan akan dimasukkan dalam tahanan… masuk penjara kerana perbuatan curangnya, jenayah dilakukannya.

“Selepas dia kembali berkuasa atau bersama dengan parti kerajaan, saya dengar bahawa dia juga cuba nak hapuskan tindakan terhadapnya melalui mahkamah. Itulah Zahid.

“Siasatan masih ada dan dia nak bahawa siasatan itu dihentikan. Itu benar,” kata Dr Mahathir.