NCER sasar catat pelaburan RM367.8 bilion direalisasikan menjelang 2030 – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mencatatkan RM367.8 bilion pelaburan direalisasi menjelang 2030 dan menjadi hab ekonomi dan teknologi bertaraf dunia menerusi tiga bidang tumpuan baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiga bidang tumpuan baharu tersebut adalah Perkhidmatan Termaju, Pembuatan Bernilai Tinggi dan Pertanian Moden.

Beliau berkata dua pemacu perubahan yang akan menyokong perancangan tersebut adalah amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan pelaksanaan penggunaan digital.

Anwar berkata Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-31 yang dipengerusikannya hari ini telah meneliti beberapa perkara utama berkaitan dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030.

“Bagi tempoh 2021 hingga 2022, NCER telah menyumbang 34 peratus (RM197 bilion) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan,” kata beliau menerusi hantaran di laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) hari ini.

Perdana Menteri berkata mesyuarat itu juga membincangkan tentang inisiatif “Facilitation@NCER” dalam usaha memacu dan merealisasikan pelaburan di wilayah koridor berkenaan.

“Ini akan melibatkan koordinasi dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tujuan kemudahan akses maklumat, pengurusan perhubungan pelaburan, penyesuaian perkhidmatan dan guna pakai platform pengurusan digital On-Track,” katanya.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan Menteri Besar yang berkenaan sebagai Ahli Majlis NCIA. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat