MELAKA, – Kerajaan Negeri Melaka tidak pernah mengabaikan kepentingan rakyat dalam usaha merancakkan sektor pelancongan, sebaliknya pembangunan industri tersebut memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada penduduk tempatan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, dakwaan seorang wakil Pemuda DAP Sosialis (DAPSY) Melaka bahawa kerajaan negeri lebih mengutamakan pelancong berbanding rakyat adalah tidak berasas dan memperlihatkan kegagalan memahami struktur ekonomi negeri.
Menurut beliau, sektor pelancongan merupakan antara pemacu utama Keluaran Dalam Negeri Kasar Negeri (KDNKK) Melaka dengan sumbangan sekitar 51 peratus.
“Budak DAPSY ini antara dua sahaja, sama ada dia tidak duduk di Melaka atau duduk di Melaka tetapi terperuk dalam rumah sahaja.
“Dia tahu atau tidak bahawa sektor pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar kepada KDNKK Melaka. Itu bukan angka kecil. Jadi dia mahu kita buat apa? Berborak di Facebook sahaja?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Razak menjelaskan bahawa Melaka sebagai bandar raya bersejarah yang diiktiraf UNESCO sememangnya terkenal sebagai destinasi sejarah, budaya dan warisan yang menarik pelancong domestik serta antarabangsa.
Katanya, limpahan ekonomi daripada sektor pelancongan bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya memberi manfaat secara langsung kepada peniaga kecil dan sederhana, pengusaha homestay, pemilik restoran serta pemain industri perkhidmatan lain.
“Gimik pelancongan yang dikatakan itu sebenarnya yang memberi limpahan ekonomi kepada rakyat Melaka. Kedai makan penuh, homestay penuh, peniaga tersenyum hampir setiap minggu sehingga berlaku kesesakan trafik. Itu semua memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.
Mengulas dakwaan kononnya kerajaan negeri gagal merancang ekonomi yang mampan, Abdul Razak menegaskan bahawa di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pelbagai inisiatif pembangunan dan pelaburan strategik sedang dilaksanakan bagi mempelbagaikan sumber ekonomi negeri.
Beliau memetik beberapa projek utama termasuk pembangunan MCORP Hi-Tech Park, German Technology Park dan Elkay 2.0, selain projek Melaka Inland Port yang sedang dibangunkan.
“Ini semua bukan soal pelancongan semata-mata. Kerajaan negeri membawa masuk pelaburan strategik yang akan menjana puluhan ribu peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka.
“Kalau tidak mahu membaca atau mengambil tahu, sekarang sudah ada pelbagai sumber maklumat. Janganlah hanya bersuara semata-mata untuk meraih perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri,” katanya lagi.
Abdul Razak turut mencadangkan agar wakil DAPSY berkenaan mendapatkan penjelasan daripada barisan Exco Kerajaan Negeri berhubung perancangan pembangunan dan ekonomi yang sedang dilaksanakan demi kepentingan rakyat Melaka.



