PUTRAJAYA, — VFive Group Sdn. Bhd. menyasarkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada suku ketiga tahun 2028 dengan memberi tumpuan kepada dua sektor teras utama iaitu pengurusan fasiliti (facility management) dan pembinaan.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Hj Mohd Syafiq Hj Abdullah berkata, persiapan ke arah penyenaraian itu telah dimulakan lebih awal dengan menstrukturkan semula fokus perniagaan ke arah pendapatan mampan jangka panjang.
“Kita mensasarkan untuk pergi ke IPO pada suku ketiga 2028. Fokus IPO ini adalah kepada sektor facility management dan construction kerana kedua-duanya menjana pendapatan jangka panjang yang lebih stabil dan mampan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 yang berlangsung di Putrajaya Marriott Hotel baru-baru ini.
Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun sebelum IPO, syarikat akan memberi keutamaan kepada kontrak dan projek yang mempunyai jaminan pendapatan sekurang-kurangnya lima tahun bagi mengukuhkan profil pendapatan berulang (recurring income).
Kurangkan Kebergantungan Kepada Kerajaan
Dalam usaha memperkukuh daya saing menjelang IPO, VFive juga menyasarkan pengurangan kebergantungan kepada projek kerajaan yang ketika ini merangkumi kira-kira 80 peratus portfolio syarikat.
“Kita mahu seimbangkan komposisi projek antara sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta. Sasaran kita adalah memperkukuh segmen bukan kerajaan bagi meningkatkan ketahanan kewangan sebelum penyenaraian,” jelasnya.
Setakat ini, sektor pengurusan fasiliti menyumbang kira-kira 30 peratus kepada perolehan kumpulan dengan nilai buku pesanan mencecah sekitar RM400 juta, manakala pembinaan mencatatkan kira-kira RM190 juta. Kedua-dua sektor ini secara keseluruhan menyumbang sekitar 70 peratus kepada hasil kumpulan.
Lima Teras Perniagaan
VFive merupakan syarikat perniagaan pelbagai (diversified business) dengan lima teras utama iaitu acara, media dan pengiklanan; pengurusan fasiliti; pembinaan; teknologi maklumat (IT); serta pembangunan (development).
Bagaimanapun, bagi tempoh terdekat, syarikat tidak merancang untuk meneroka perniagaan baharu, sebaliknya menumpukan kepada pengukuhan lima sektor sedia ada.
“Tahun ini kita tidak fokus kepada bisnes baharu. Kita mahu perkasakan dan kumpulkan kekuatan dalam lima teras ini dahulu sebelum mempertimbangkan venture baharu pada tahun depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa strategi jangka panjang VFive bukan sekadar tertumpu kepada pertumbuhan lima atau 10 tahun, sebaliknya menyasarkan kelangsungan sehingga 50 hingga 100 tahun.
Antara pendekatan yang digariskan termasuk memberi tumpuan kepada projek pembangunan jangka panjang, model konsesi serta pembangunan aset yang mampu menjana aliran pendapatan berterusan.
“Kalau kita bercakap tentang sustainability, kita lihat kepada projek development dan concession yang mampu bertahan dalam tempoh panjang. Itu yang kita sedang fokuskan sebagai asas jangka panjang syarikat,” ujarnya.
Selari dengan perancangan IPO, pembangunan bakat dikenal pasti sebagai elemen kritikal dalam lima pemacu utama (five key drivers) syarikat, iaitu strategi arah tuju, kecemerlangan operasi, kemampanan kewangan, kepimpinan dan bakat, serta tadbir urus dan integriti.
Ketika ini, jumlah tenaga kerja VFive meningkat secara signifikan daripada sekitar 200–300 kakitangan tahun lalu kepada hampir 1,000 orang tahun ini.
Menurut Mohd Syafiq, syarikat memberi penekanan kepada latihan dalaman, program pembinaan pasukan setiap enam bulan, sesi latihan suku tahunan mengikut industri serta sistem penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih tersusun.
“Kita juga gabungkan bakat baharu dengan tenaga kerja berpengalaman supaya berlaku pemindahan ilmu dan keseimbangan dalam organisasi,” katanya.
Majlis Apresiasi Gema Qalbi 2025 yang dianjurkan saban tahun itu turut menyaksikan penyampaian kira-kira 30 anugerah kepada kakitangan serta penghargaan kepada pembekal dan rakan strategik yang menyumbang kepada prestasi syarikat sepanjang 2025.
Dengan sasaran IPO 2028 dan penstrukturan semula ke arah pendapatan mampan, VFive kini meletakkan asas untuk muncul sebagai pemain utama dalam sektor pengurusan fasiliti dan pembinaan dalam tempoh jangka panjang.-SuaraTV



