Najib nafi dakwaan Sirul dalam kes pembunuhan Altantunya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamad Najib Tun Abd Razak menafikan dakwaan Sirul Azhar Umar yang mendakwa dirinya terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribu dalam satu wawancara yang disiarkan dalam program Al Jazeera’s 101 East mengenai pembunuhan Altantuya Shaaribuu pada 2006.

Peguam bela & Peguam cara Shafee and Co berkata demikian dalam satu kenyataan bagi pihak Najib hari ini sebagai respons kepada dakwaan Sirul bahawa Najib meminta Kerajaan Malaysia melakukan libat urus dengan pihak berkuasa Australia dengan matlamat untuk memudah cara penyerahan balik Sirul ke Malaysia bagi memastikan satu siasatan komprehensif ke atas dakwaannya.

“Kami ingin mengulangi bahawa anak guam kami, Datuk Seri Najib Razak telah dibebaskan daripada sebarang penglibatan dalam kes ini.

“Pembebasan ini telah disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk penyiasatan yang dimulakan semula selepas PRU14 (2018) dan pengesahan oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan akhirnya melalui rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang didengar secara menyeluruh atas meritnya,” kata firma guaman itu, lapor Malaysiapost.

Dalam prosiding mahkamah berkenaan, peguam Najib berkata pihak pendakwaan dan pihak pembelaan tidak mengaitkan Najib, kecuali ketika Azilah Hadri – pegawai atasan Sirul yang turut disabitkan kesalahan – membuat akuan berkanun mendakwa Najib ‘mengarahkan pembunuhan Altantuya’.

Mahkamah Persekutuan enggan menyemak sabitan Azilah berdasarkan ‘bukti baru’.

Panel berpendapat bahawa Azilah sendiri menyembunyikan maklumat daripada proses undang-undang, dan oleh itu tidak ada pelanggaran keadilan semula jadi yang akan mewajarkan semakan.

Dalam wawancara disiarkan semalam, Sirul masih menutup mulut mengenai dakwaan dalang pembunuhan itu, selain mengatakan Azilah memberitahunya bahawa mereka sedang menjalankan ‘operasi khas’ untuk Najib.

Dia juga memberitahu Al-Jazeera bahawa masih ada usaha berterusan untuk mempengaruhinya bagi melindungi Najib.

Bagaimanapun, peguam Najib berkata anak guam mereka ‘menafikan secara mutlak’ dakwaan mempengaruhi atau cuba menutup mulut Sirul.

“Malah, dia menggesa Sirul untuk berani dan mendedahkan apa-apa maklumat yang mungkin dia ada mengenai dalang dikatakan itu, demi kepentingan membongkar kebenaran, ketelusan dan keadilan,” kata peguam Najib lagi, lapor Malaysiakini.

Peguam Najib turut bersetuju dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa Sirul sudah mempunyai peluang untuk membela diri mengikut undang-undang, dan dakwaan dalam wawancara baru-baru ini tidak pernah dibangkitkan di mahkamah.

“Sehubungan itu, anak guam kami menyatakan bahawa memandangkan Sirul berdepan dengan hukuman mati sepanjang perbicaraannya, dia sepatutnya membangkitkan dakwaan baru-baru ini kepada mahkamah – jika perkara yang sama ada merit, tetapi masih belum berbuat demikian,” kata firma guaman itu.

Mereka juga menambah bahawa kerajaan harus melibatkan diri dengan rakan sejawatan mereka dari Australia untuk mengekstradisi Sirul dan memudahkan siasatan lanjut berhubung dakwaannya, dan mungkin memberi jaminan kepada kerajaan Australia bahawa hukuman mati tidak akan dilaksanakan terhadapnya.

Sementara itu, Shafee & Co turut menjelaskan bahawa Sirul dan Azilah tidak pernah menjadi pengawal peribadi yang ditugaskan kepada Najib, tetapi tergolong dalam kumpulan pengawal peribadi yang digilir dalam kalangan pemimpin tertinggi kabinet.

“Malah, kedua-duanya ditahan buat kali pertama selepas mereka tiba di lapangan terbang dari United Kingdom selepas mereka menjalankan tugas melindungi perdana menteri terdahulu, (Tun) Abdullah Ahmad Badawi,” kata Firma Guaman itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat