KUALA LUMPUR: Satu jalan tengah harus dicari dalam memastikan sistem pendidikan kita terus berkembang dengan lebih cemerlang, kata Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin.
Mohd Zaffarollah berkata perkara itu perlu menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan kerana ramai ibu bapa kini bimbang dengan prestasi anak-anak mereka di sekolah rendah.
Katanya, ramai yang berpendapat pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menyebabkan berlaku keciciran dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
“Walaupun belum dibuktikan bahawa pemansuhan UPSR sebagai punca keciciran kemahiran 3M dalam kalangan pelajar sekolah rendah, namun ia cukup untuk menimbulkan perasaan cemas dalam kalangan ibu bapa.
“Pemansuhan UPSR tidak sepatutnya menjejaskan kemahiran 3M pelajar kerana sistem pembelajaran sedia ada terus digunakan.
“Penggantian UPSR kepada Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bertujuan mengurangkan tekanan dan tumpuan kepada mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sehingga mengabaikan subjek yang yang tidak utama dan pembangunan sahsiah diri menerusi aktiviti kokurikulum.
“Namun ia menimbulkan kebimbangan tanpa UPSR tiada indikator yang tepat untuk mengukur kemahiran 3M. Ia bergantung kepada sekolah sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Zaffarollah berkata, walaupun PBS baik dalam pendidikan awal dan bersifat lebih lebih holistik berbanding kepada sistem pendidikan berfokuskan kepada peperiksaan, namun harus akui bahawa kemahiran 3M adalah asas penting dalam perkembangan intelek pelajar.
Katanya, tanpa kemahiran 3M, pelajar sukar untuk menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan, sekali gus akan menjadi bebanan kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Justeru beliau mencadangkan agar Kementerian Pendidikan memikirkan satu sistem peperiksaan berpusat bagi pelajar sekolah rendah yang akan mengukur tahap kemahiran 3M ini.
-ASTRO AWANI