Universiti Teknologi MARA (UiTM) bukan berada di bawah kendalian Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Begitupun, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau tetap membangkitkan polemik terkini berhubung UiTM kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Memetik kenyataan Zambry, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah dasar UiTM.
Jelas Setiausaha Agung UMNO itu, kerajaan sebaliknya akan mengekalkan UiTM untuk Bumiputera.
“UiTM bukan di bawah MARA. Namun atas rasa tanggungjawab saya turut bertanya mengenai polemik terkini kepada Menteri Pengajian Tinggi. Kerajaan tidak berhasrat untuk ubah dasar UiTM dan kekal untuk Bumiputera,” katanya menerusi perkongsian di media sosial hari ini.
Terdahulu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM menyeru mahasiswa di universiti itu memakai pakaian hitam esok sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.
Mereka turut meminta mahasiswa memuat naik gambar bersama tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai menyokong kempen yang dilancarkan sejak semalam.
MPP itu berkata, universiti tersebut perlu berpegang objektif asal penubuhannya iaitu memelihara kedudukan istimewa orang Melayu, Orang Asli dan pribumi Sabah serta Sarawak.
Rentetan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini menegaskan tidak membincangkan berkaitan isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM.
Menurut Zambry, isu terbabit tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat KPT ataupun pada mesyuarat Kabinet. – UtusanTV