Lepas BN dan PH bergabung, corak kempen calon Tioman berubah dimensi

- Advertisement -

TIOMAN – Selepas sahaja wujudnya pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tentu sahaja berlakunya perubahan dimensi corak kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Tioman.

Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang dua penggal DUN Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) telah memberi impak kepada bentuk dan gaya kempen.

“Bagi kempen PRK DUN Tioman kali ini saya lebih banyak tekankan unsur kesejahteraan rakyat, kestabilan politik dan juga pimpinan berintegriti, ia ternyata berbeza dengan kempen dua minggu lepas.

“Kita tertangguh untuk bentuk kerajaan negeri Pahang maka saya harapkan rakyat beri keyakinan kepada Kerajaan Perpaduan. Saya betul-betul harapkan rakyat dapat buat pertimbangan yang berhikmah dan bijaksana,” katanya kepada Suara.TV ketika walkabout di Teluk Gading pada Sabtu.

Johari bagaimanapun memahami bahawa secara tradisinya pembentukan Kerajaan Perpaduan ini telah mengubah landskap penerimaan pengundi.

“Jika sebelum ini, mereka terlalu menjaga semangat parti Melayu cara Melayu begitu juga Cina cara Cina manakala India cara India.

“Tapi kita mesti bersama jayakan Kerajaan Perpaduan. Saya dan jentera BN akan berusaha meraih undi dengan membuat rakyat faham, gabungan itu demi kesejahteraan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Johari juga berkata tumpuan kini terarah kepada DUN Tioman kerana mandat yang diberikan akan menentukan komposisi Kerajaan Negeri Pahang.

Beliau malah mengakui menggalas tanggunngjawab yang sangat mencabar untuk mempertahankan DUN Tioman.

“Mandat kali ini sangat penting bagi jaminan untuk kelangsungan dan juga kesinambungan sebuah kerajaan baru yang akan dibentuk.

“Jadi pilihan raya kali sangat mencabar, BN perlu mengatasi kelemahan dan kekurangan bagi memberi keyakinan kepada pengundi agar dapat memberi mandat kali ini kepada calon BN Tioman dan sekali gus jika kita menang akan dapat membuat satu perbincangan ke arah pembentukan kerajaan baru selepas PRU15,” katanya.

Tambah Johari lagi, perjuangan kali ini tidak timbul lagi soal DAP tapi lebih kepada usaha utama kesejahteraan rakyat dan juga keutuhan ekonomi pada masa akan datang.

“Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ini telah memberi salah erti di kalangan orang Melayu pada mulanya kerana dilihat campur aduk parti tertentu secara tradisi menjadi halangan untuk bersama.

“Tapi demi pentadbiran kukuh kestabilan ekonomi, politik dan perpaduan kaum maka gabungan ini terhasil namun mutakhir ini parti orang Melayu boleh menerima gabungan atas nama Kerajaan Perpaduan,” kata Johari.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat