Majlis Tilawah, Hafazan Bukti Komitmen Kerajaan Terap Budaya Baca Al-Quran – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kejayaan penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan (MTQJK) memberi gambaran jelas komitmen kerajaan menerapkan budaya membaca kitab suci itu di kalangan umat Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap sempena Perasmian Penutup MTQJK malam ini, Perdana Menteri berkata program melibatkan johan Qari dan Qariah Tilawah Al-Quran itu adalah alternatif kepada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) bagi Tahun 1442H/2021M

“Alhamdulillah, walaupun kita mendepani dugaan daripada pandemik COVID-19, penganjuran majlis ini masih dapat dilaksanakan.

“Ini menggambarkan komitmen pihak kerajaan dalam menerapkan budaya membaca al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan menghindari larangan-Nya dalam amalan kehidupan kita seharian,” katanya dalam ucapan itu yang disiarkan secara langsung menerusi RTM.

Menurut beliau lagi, disebalik kehidupan normal baru susulan penularan wabak Covid-19, ia tidak menghalang umat Islam untuk terus membaca dan mempelajari Al-Quran.

“Penularan wabak COVID-19 di penghujung tahun 2019 telah banyak mengubah cara hidup Keluarga Malaysia kepada norma baharu termasuklah dalam aspek pengajaran dan pembacaan al-Quran. Kini, untuk membaca al-Quran di mana jua menjadi lebih mudah.

“Seiring dengan teknologi dan keperluan umat Islam moden, al-Quran kini disediakan dalam pelbagai produk digital dan aplikasi perisian, malahan, terdapat aplikasi yang juga menyediakan tafsir dan doa-doa pilihan. Semua hanya di hujung jari.

“Saya difahamkan sejak penularan wabak COVID-19, pembelajaran al-Quran secara dalam talian semakin mendapat tempat.

“Banyak institusi sama ada kerajaan mahupun swasta telah memperkenalkan kelas-kelas pembelajaran al-Quran seperti tajwid, talaqqi, tarannum dan hafazan secara dalam talian. Usaha murni tersebut memudahkan capaian masyarakat untuk mempelajari ilmu membaca al-Quran,” ujarnya.

MTQJK yang berlangsung selama 5 hari bermula 22 Oktober lalu dan berakhir hari ini dijayakan oleh 26 orang qari dan qariah yang merupakan Johan-Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Dalam ucapan sama, Perdana Menteri turut menyifatkan penganjuran MTQJK sebagai bukti jelas Islam tidak menghalang umatnya memanfaatkan teknologi masa kini untuk tujuan kebaikan seperti penganjuran program tersebut.

“Al-Quran dan teknologi tidak dapat dipisahkan. Ia adalah wahyu Allah SWT yang diturunkan sebagai petunjuk, agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil, manakala teknologi ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia.

“Gabungan al-Quran dan teknologi dapat memperkuat dan memperjelas sesuatu fakta hujahnya dengan merujuk kepada hadis nabi, mazhab-mazhab, para sarjana, saintis Islam dan bukan Islam.

“Perhubungan teknologi dan agama dipandang sebagai perhubungan roh dan jasad. Teknologi dan agama saling menyempurnakan di antara satu sama lain. Alam tabi’i perlu difahami, dikaji dan manusia akan beroleh manfaat daripadanya.

“Sebagai contoh, dalam majlis ini kita dapat melihat bagaimana teknologi digunakan ke arah kebaikan seiring dengan prinsip Islam.

“Majlis ini menyaksikan teknologi menghubungkan 26 orang qari dan qariah Johan-Johan Kebangsaan di seluruh negara yang bersiaran secara langsung dari 11 lokasi yang boleh disaksikan di pelbagai capaian media.

“Alunan ayat-ayat al-Quran dan ibrah huraian ayat pula dipancarkan kepada penonton menggunakan teknologi AR (atau augmented reality), yang menunjukkan Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada memaksimumkan penggunaan teknologi dalam kehidupan,” katanya.

Beliau turut memberi penghargaan kepada Qari dan Qariah serta pihak penganjur yang menjayakan MTQJK.

“Dalam meraikan semangat Keluarga Malaysia, qari dan qariah dari seluruh negara telah menyertai majlis ini dan telah memberikan komitmen yang terbaik dari awal proses pelaksanaan sehingga selesai majlis ini.

“Semangat dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh pihak negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan RTM sangat dipuji dan boleh dijadikan satu contoh ke arah Keluarga Sejahtera.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat bagi menjayakan majlis tilawah kali ini.

“Mudah-mudahan segala usaha yang disumbangkan untuk memartabatkan al-Quran bagi melahirkan generasi dan negara rabbani yang mencintai al-Quran akan diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT serta diberkati olehNya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat