839 Individu Pulang Ke Tanah Air Dihantar Ke Pusat Kuarantin

- Advertisement -

PETALING JAYA – Seramai 839 individu yang pulang ke tanah air menjalani kuarantin wajib 14 hari di 6 stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor sejak peraturan baru itu dikuatkuasakan Jumaat lalu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, individu itu pulang dari Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia.

“Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin, termasuk kos ujian saringan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 21 Julai lalu, kerajaan mengumumkan semua individu yang pulang ke tanah air wajib menjalani kuarantin 14 hari di institut latihan awam atau hotel ditetapkan dengan semua kos perlu ditanggung sendiri, tidak kira warganegara atau warga asing mulai Jumaat lalu.

Ismail berkata, polis akan menahan dan mendakwa individu yang belum tampil menjalani ujian saringan ke-2 Covid-19 pada hari ke-13 kuarantin rumah mulai esok.

Ingkar PKP

Ismail berkata, 617 individu ditahan semalam atas kesalahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan.

Katanya, 20 daripadanya direman, manakala 597 lagi dikompaun.

“Antara kesalahan yang dilakukan termasuk aktiviti pub dan kelab malam (331) serta aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (286).”

Beliau berkata, 67 sekatan jalan diadakan di seluruh negara semalam, dengan 34,224 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di lorong tikus.

Katanya, seorang warga asing ditahan atas kesalahan imigresen.

Berita palsu

Ismail berkata, tiada kertas siasatan baru dibuka untuk menyiasat penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 dalam tempoh lebih 2 bulan lalu.

Katanya, setakat semalam, 172 daripada 266 kertas siasatan yang dibuka polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) masih dalam siasatan.

Beliau berkata, 30 kes sudah didakwa di mahkamah, 12 diberi notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 mengaku bersalah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat