Rumah Ibadat Siaga, kongsi ilmu pertahanan awam kepada masyarakat – Dr. Mohamad Fazli

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

MERBOK – Rumah ibadat terutamanya masjid memainkan peranan penting sebagai pusat komuniti setempat dalam mengaktifkan aktiviti penduduk melalui pelbagai platform seperti aktiviti keagamaan, riadah dan program kemasyarakatan.

Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Pertahanan Awam (APM) PPj. (PA) Ts. Dr. Mohamad Fazli Sardi berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival APM Kedah X Mega Santai 2.0 Masjid Al-Busyra sempena Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Ke 72, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, di Masjid Al-Busyra sendiri, pelbagai usaha diketengahkan oleh Pengerusinya, Ustaz Firdaus Mat Akhir yang berjaya menarik komuniti atau ahli kariah untuk hadir ke masjid ini.

APM mengambil inisiatif menerapkan elemen kesiapsiagaan terhadap kecemasan dan bencana dalam komuniti rumah ibadat bagi mengembangkan peranannya dalam mempersiapkan orang awam yang mapan dan mempunyai daya tahan terhadap risiko bencana dan kecemasan.

Menurutnya, komuniti ini adalah projek rintis yang dikelolakan oleh APM Kedah dimulakan oleh Masjid Al-Busyra dan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) bagi merealisasikan objektif untuk berkongsi ilmu-ilmu Pertahanan Awam kepada masyarakat tidak kira apa jua latar belakang.

“Pemilihannya adalah berdasarkan beberapa kriteria, antaranya kawasan tersebut mempunyai ahli yang ramai dan barisan ahli jawatankuasa yang aktif serta boleh bekerjasama dalam objektif APM untuk menyampaikan Ilmu Pertahanan.

“Rumah Ibadat Siaga ini dilengkapi dengan peralatan asas sekiranya berlaku sebarang keadaan kecemasan antaranya Alat Pemadam Api Kecil (APAK), Automated External Defibrillator (AED) dan Peti Pertolongan Cemas,” katanya.

Katanya lagi, ianya tidak terhad kepada masyarakat Islam sahaja kerana pihaknya akan menubuhkannya di rumah-rumah ibadat yang lain seperti tokong, kuil, watt dan gereja.

Tidak lain tidak bukan, objektif APM tetap sama iaitu untuk menyampaikan dan berkongsi ilmu melalui latihan-latihan yang telah disediakan.

Ujarnya, latihan asas yang akan diberikan sebagai persediaan menghadapi kecemasan atau bencana seperti asas pertolongan cemas , pengendalian bot, melawan kebakaran dan latihan menyelamat yang lain.

APM menyasarkan penyertaan ini dari kalangan ahli jawatankuasa rumah ibadat, penduduk setempat berdekatan rumah ibadat dan orang awam yang mengunjungi rumah ibadat.

Tambahnya, program seumpama ini dapat diteruskan ke rumah-rumah ibadat lain yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat sebagai Pusat Keselamatan Komuniti (Community Safety Centre).

Malah boleh dijadikan sebagai forward-base (pangkalan hadapan), Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan Pusat Perkongsian Maklumat berkaitan keselamatan.

“Marilah kita bersama-sama mewujudkan rumah ibadat yang berkeupayaan dalam tindak balas bencana dan kecemasan bagi komuniti sendiri dan berharap kerjasama pihak pengurusan masjid ini terus terjalin dan tidak terhenti di sini sahaja,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Ts. Dr. Mohamad Fazli turut menyempurnakan penyerahan watikah pelantikan pegawai bersekutu kepada Ustaz Mohd Firdaus dan menandatangani plaque, penyerahan sijil serta papan tanda penubuhan Rumat Ibadat Siaga.

Antara agensi yang turut serta dalam karnival ini, adalah Tabung Haji, Hotel Seri Malaysia, Prudentials, MySalam, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

Sementalah itu, pada sebelah malam disusuli Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk, ‘Kerja Adalah Ibadah’ yang menampilkan Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan Ustaz Hidayat Amir.

Hadir sama, Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji dan Komandan Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Utara (PULAPAU), Leftenan Kolonel (PA) Muhammad Hanif Nasir. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat