APM tubuh 30 Kampung Siaga 221 hadapi bencana – Dr. Mohamad Fazli

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

SIK – Kampung Siaga 221 merupakan inisiatif Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk melatih komuniti dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan persediaan awal dalam menghadapi sebarang bencana terutamanya kejadian banjir yang sering berlaku di negara kita.

Pengarah Bahagian Pengurusan APM, PPj. (PA) Ts. Dr. Mohamad Fazli Sardi berkata demikian di majlis Pelancaran Kampung Siaga 221 : Komuniti Berdaya Tahan Bencana, Kampung Belantik Dalam di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, dengan adanya penubuhan Kampung Siaga 221 ini, komuniti setempat mampu bertindak sendiri dengan lebih pantas dalam menyelamat diri dan keluarga atau mencegah sebarang kesan buruk yang bakal berlaku ketika kecemasan atau bencana.

Katanya, konsep Kampung Siaga 221 iaitu dari komuniti kepada komuniti di mana mereka ini dengan sendirinya bersedia menghadapi keadaan kecemasan yang berlaku.

“Kesiapsiagaan awam amatlah penting kerana setiap kali berlakunya peralihan monsun atau ketika Monsun Timur Laut berlaku, komuniti yang berada di tempat hot spot bencana boleh mempersiapkan diri serta kelengkapan jika keadaan kediaman dan sekeliling menjadi tidak selamat untuk diduduki,” katanya lagi.

Ujarnya, komponen pengurusan bencana juga perlu dimasukkan di dalam pembangunan komuniti supaya impak bencana dapat dikurangkan sekaligus kadar kehilangan nyawa dan harta benda dapat diminimakan sekiranya bencana berlaku.

Tambahnya, tujuh kriteria utama bagi membolehkan sesuatu lokasi itu dipilih antaranya kawasan padalaman, luar bandar, kawasan terdedah bencana, terputus hubungan ketika bencana, capaian komunikasi yang terhad, memiliki struktur komuniti (sumber manusia), ketersediaan komuniti serta logistik yang terhad.

“Setakat ini APM telah menubuhkan sebanyak 30 Kampung Siaga 221 di seluruh negara melibatkan seramai 10,771 orang peserta.

“Bagi Kedah pula telah ditubuhkan di Pulau Tuba, Langkawi dan Kg. Belantik Dalam, Sik manakala di Kubang Pasu dan Baling dalam proses penubuhan,” tambahnya lagi.

Beliau berharap program ini boleh diteruskan ke daerah lain agar ianya memberi manfaat kepada semua terutama kepada komuniti setempat dan kerjasama seumpama ini antara rakan agensi dapat diteruskan bagi menjamin keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Sik, Faisal Rizal Muhammad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Turut hadir, ADUN Belantik, Hj. Ahmad Sulaiman; Pengarah APM Kedah Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji; Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kedah, Zuraini Mohd Yusof; Ketua Polis Daerah Sik, DSP Abd Razak Azizan; Ketua Balai Bomba Penyelamat Sik, PPgB Zulkhairi Mat Tanjil dan Pegawai APM Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat