Belasungkawa: Tokoh Wartawan Negara Ahmad A Talib Tiada Galang Ganti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pada petang 3 Syawal, pengamal media tempatan dikejutkan dengan berita sedih pemergian tokoh wartawan yang amat disegani, Datuk Ahmad A. Talib pada usia 68 tahun.

Allahyarham, yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Kumpulan Media Prima Bhd (MPB), menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira 5.42 petang tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Difahamkan Allahyarham menghidap penyakit kanser hati kira-kira sebulan lalu semasa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di ibu kota.

Menyingkap sejarah karier Ahmad, Allahyarham bukanlah satu nama asing dalam kalangan wartawan tempatan malah pengalaman luas beliau hampir lima dekad dalam dunia kewartawanan negara menjadi rujukan bagi wartawan muda.

Ahmad atau mesra disapa ‘Tok Mat’ memulakan kerjayanya sebagai wartawan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sekitar tahun 1972 sebelum berkhidmat di Business Times (Malaysia) Sdn Bhd (dahulunya Kewangan Penerbitan Sdn Bhd) pada 1978 dan akhbar tempatan Berita Harian sekitar tahun 1985 sebagai Pengarang Berita Ekonomi.

Sekitar tahun 1987, Ahmad menjadi Penolong Pengarang Berita Harian sebelum menyandang beberapa jawatan tertinggi termasuk Pengarang Berita New Straits Times, Ketua Pengarang Berita, Pengarang Bersekutu dan Penolong Pengarang Kumpulan.

Allahyarham kemudian dilantik sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) pada tahun 1998 serta Pengurus Besar Kumpulan dan Komunikasi dan Pemasaran Editorial (2004). Beliau bersara awal daripada kumpulan NSTP pada 2005.

Sekitar tahun sama, beliau menyertai kumpulan Maxis Communication Bhd sebagai penasihat kepada Ketua Pengawai Eksekutif Datuk Jamaludin Ibrahim selama dua tahun.

Pada Julai 2009, Ahmad menyertai semula NSTP dan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Editorial kumpulan akhbar itu dan MPB sebelum menyandang jawatan penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MPB pada 2013.

Wartawan veteran itu turut aktif sebagai kolumnis akbar menerusi kolum ‘Pahit Manis’ di New Sunday Times.

Berbekalkan pengalaman luas dalam bidang kewartawanan, Ahmad kerap diundang sebagai hos, moderator serta ahli panel program bual bicara dan diskusi di televisyen tempatan malah pernah menyandang jawatan Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI) serta Pengerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) sekitar 2003.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham amat terkenal sebagai aktivis sosial malah pernah menjadi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Salam, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jenazah Allahyarham akan dibawa Masjid Al Muqarrobin, Bandar Tasik Selatan untuk solat jenazah dan dijangka dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam di Sungai Besi.

Allahyarham Ahmad meninggalkan isteri, Datin Nur Shima Daud, 66, dan empat anak serta seorang cucu perempuan.

BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat