KUALA LUMPUR – Armada Bersatu dengan tegas menafikan dakwaan bahawa parti itu membantah kemasukan Pejuang ke dalam Perikatan Nasional (PN).
Hakikatnya kata ketuanya Hilman Idham, keputusan menerima Pejuang sebagai parti anggota diputuskan secara ‘sebulat suara’.
Tegas Hilman, Bersatu menyokong penyertaan Pejuang dan hanya membantah kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) atas faktor pematuhan undang-undang serta implikasi terhadap kestabilan dan keharmonian dalaman gabungan.
“Bersatu memandang serius laporan Utusan Malaysia bertarikh 24 Jun 2026 bertajuk “Lapan MT PN Bantah Penyertaan Wawasan, Pejuang” yang jelas tidak tepat, mengelirukan dan gagal menggambarkan pendirian sebenar parti.
“Justeru, Bersatu menggesa Utusan Malaysia membetulkan segera tajuk dan kandungan laporan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan berterusan dalam kalangan rakyat serta memastikan integriti pemberitaan terus terpelihara,” tegur Hilman.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi PN itu lagi, Bersatu berpandangan bahawa setiap keputusan yang melibatkan hala tuju dan komposisi PN hendaklah dibuat secara telus, teratur dan berlandaskan undang-undang.
“Tiada mana-mana pihak, tanpa mengira kedudukan, boleh mengabaikan proses yang sepatutnya atau mengharapkan pengecualian daripada peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua.
“Bersatu akan terus mempertahankan prinsip tadbir urus yang baik, menghormati kedaulatan undang-undang serta memastikan setiap keputusan yang dibuat oleh PN adalah demi kepentingan gabungan dan rakyat, bukannya didorong oleh pertimbangan politik jangka pendek,” katanya.
Ujarnya, seperti yang telah dijelaskan oleh Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan media bertarikh 23 Jun 2026, bantahan terhadap PCM dibuat kerana proses permohonannya menimbulkan persoalan serius dari sudut pematuhan peraturan dan undang-undang. Permohonan tersebut dikemukakan atas nama PCM, namun maklumat kepimpinan yang disertakan adalah atas nama Parti Wawasan Negara, sedangkan pertukaran nama parti dan perubahan kepimpinan tersebut masih belum mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Dalam keadaan sedemikian, penerimaan permohonan tersebut bukan sahaja boleh menimbulkan pertikaian dari segi kesahihan organisasi yang memohon, malah berpotensi mewujudkan konflik dalaman yang tidak perlu dalam PN pada masa hadapan.
Ahmad Faizal juga telah menyatakan rasa kesal terhadap tindakan Pengerusi PN yang didakwa cuba mendapatkan persetujuan Majlis Tertinggi PN secara tergesa-gesa tanpa penelitian sewajarnya terhadap aspek perundangan dan implikasi di bawah Akta Pertubuhan 1966.


