PRN Johor: Tidak ada wrestling, Bersatu tanding paling banyak kerusi dan semua guna logo PN – Sanusi

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan Bersatu akan bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Sanusi Md Nor yang mempengerusikan mesyuarat agihan kerusi PN bagi PRN berkenaan hari ini berkata agihan kerusi membabitkan Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) juga selesai secara harmoni.

Beliau turut mengesahkan semua calon dari parti komponen akan bertanding menggunakan logo PN.

Bagaimanapun, Sanusi tidak mendedahkan angka tepat berapa banyak kerusi keseluruhan yang bakal ditandingi PN, termasuk agihan mengikut parti komponen.

“Paling banyak (kerusi) Bersatu. Senarai dibawa itu berdasarkan keyakinan masing-masing. Jadi Kita tengok, timbang pemberatnya.

“Pemberatnya meliputi jentera, pengundi, pengalaman (bakal calon), penyandang (kerusi) dan pernah bertanding (pilihan raya).

“Itu semua pemberat-pemberat yang menentukan siapa patut dipertimbangkan untuk kerusi itu. Sudah selesai bab itu (agihan kerusi), saya punya misi merunding kerusi selesai. Alhamdulillah,” katanya menurut BH pada Rabu.

Terdahulu, mesyuarat bermula jam 10 pagi tadi dihadiri wakil parti komponen PN antaranya Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau dan Presiden MIPP, P Punithan.

Dalam pada itu, Sanusi mengakui antara isu yang berjaya disepakati dalam mesyuarat hari ini adalah berhubung pertindihan membabitkan 34 kerusi.

Sehubungan itu, katanya tiada lagi isu berbangkit timbul kerana semuanya sudah dibincang dan diputuskan secara harmoni dalam mesyuarat berkenaan.

“Tidak ada wrestling (bergusti). Alhamdulillah selesai perundingan dengan parti-parti dalam PN. Tugas saya adalah merunding kerusi bertindih. Yang tak bertindih ‘free for all’. Yang bertindan semua sudah selesai,” katanya

Mengenai pengumuman calon, beliau berkata majlis itu untuk PN dari Pas akan dibuat dalam satu majlis di Muar, Johor.

Setakat ini, katanya belum dapat kepastian sama ada Bersatu akan bersama pada majlis pengumuman calon PN diwakili Pas.

“Yang saya bincang ini dengan jentera PAS. Dengan itu (Bersatu) belum bincang lagi. Kalau dia nak sekali okay. Tak sekali pun okay,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat