Pemberian, Sokongan Kepada Kerajaan Negeri Ditambah Baik Demi Manfaat Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan melalui Mesyuarat Majlis Kewangan Negara menambah baik pemberian dan sokongan kepada negeri bagi tahun 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan mengumumkan beberapa insentif yang memberi manfaat besar kepada kerajaan negeri.

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri oleh Menteri Besar serta wakil Ketua Menteri dari semua negeri.

“Antara penambahbaikan itu ialah kerajaan negeri diberi kelonggaran tambahan dalam penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS) sebanyak RM5 bilion untuk tahun 2022.

“Ia bagi membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembentung dan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” kata Perdana Menteri dalam kenyataan pada Selasa.

Kerajaan Persekutuan amat prihatin ke atas situasi yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri pasca banjir Monsun Timur Laut 2021/ 2022 yang lepas,kata Ismail Sabri.

“Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengkaji semula Pemberian MARRIS supaya peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui memperluaskan lagi skop perbelanjaan MARRIS untuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti yang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.

“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan pemberian MARRIS,” ujarnya.

Selain itu, Perdana Menteri juga memaklumkan kerajaan meningkatkan peruntukan pindahan fiskal ekologi (Ecological Fiscal Transfer – EFT) daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

Kata Ismail Sabri, insentif kewangan kepada kerajaan-Kerajaan negeri ini adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin, kerajaan negeri akan diberi insentif kewangan.

“Caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP).

“Jawatankuasa akan ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semual formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi Pemberian TAHAP,” katanya.

Tegas Ismail Sabri, ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing.

Kata beliau, langkah ini bagi memperkukuhkan lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

“Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri pada setiap tahun,” kata beliau.

Oleh yang demikian Ismail Sabri berkata, Kerajaan Persekutuan berharap pemberian- pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri terutamanya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara.