KUALA LUMPUR- Tiga jenis kenderaan mobiliti diharamkan penggunaannya berkuatkuasa serta-merta atas jalan raya.

Kementerian Pengangkutan menegaskan tiga jenis kenderaan itu membabitkan Moped, Personal Mobiliti Devices (skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia) dan Personal Mobiliti Aids (PMA) atau alat bantu mobiliti peribadi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, larangan penggunaan kenderaan itu adalah berdasarkan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Mikrobiliti Tertentu 2021 yang berkuat kuasa pada 17 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, mengikut larangan itu, denda RM300 boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang menggunakan kenderaan itu di atas jalan raya.

“Oleh itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar larangan itu mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Larangan itu dikeluarkan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin dan mengelakkan percampuran dalam aliran trafik bersama kenderaan lain,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Pun begitu, bagi basikal dengan bantuan elektrik (basikal elektrik) pula, hanya yang memenuhi spesifikasi MS2514 dibenarkan digunakan atas jalan raya.

Menurutnya, penggunaan basikal elektrik itu mestilah mematuhi peraturan-peraturan yang sama seperti ditetapkan penggunaan basikal.
“Selain itu, basikal elektrik mestilah tidak mempunyai pendikit (throttle) dan mempunyai pedal bagi kayuhan yang dipasang secara kekal di badan kenderaan,” katanya.

Katanya, semua pihak berkuasa yang berkenaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah diseru untuk bersama-sama mengawal selia penggunaan kenderaan mikromobiliti di dalam kawasan tadbir masing-masing.

Ka Siong berkata, dalam hal ini, pihak berkuasa yang berkenaan boleh membangunkan infrastruktur jalan khusus yang menyokong penggunaan kenderaan mikromobiliti yang selamat (seperti laluan basikal) yang tidak bercampur dengan aliran trafik sedia ada.

“PBT juga dinasihatkan untuk melaksanakan aktiviti advokasi dan kempen keselamatan penggunaan kenderaan mobiliti kepada masyarakat,” ujar beliau.