Hutang RM2.1 Bilion Negeri Pahang Dihapus Kira – Wan Rosdy

- Advertisement -

KUANTAN: Hutang kerajaan negeri Pahang berjumlah RM2.1 bilion terhadap kerajaan Persekutuan telah dihapus kira.

Menurut Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, pelupusan hutang tersebut melalui Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang.

“Syukur Alhamdulillah, RM2.1 bilion hutang kerajaan negeri Pahang dihapus kira,

“Hari ini merupakan detik yang bersejarah kerana sebanyak RM2.1 bilion hutang Kerajaan Negeri Pahang terhadap Kerajaan Persekutuan dihapus kira melalui Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang yang ditandatangani sebentar tadi.” Kata Wan Rosdy.

Sesi menandatangani perjanjian tambahan tersebut disaksikan beliau sendiri, bersama Timbalan Menteri KASA, YB Dato’ Mansor Haji Othman serta Pengerusi PAAB, YB. Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurut Wan Rosdy lagi, ianya adalah satu peristiwa yang besar bagi Kerajaan Negeri Pahang dan kita merasa cukup bertuah kerana dengan termeterainya perjanjian ini Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) boleh membelanjakan sebanyak RM920.5 juta secara berperingkat bagi menyelesaikan isu berkaitan pengurusan bekalan air di Pahang.

Terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri dan Timbalan Menteri Kementerian Sumber Asli dan Air (KASA), Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang terdahulu iaitu YB Dato’ Sri Hassan Ariffin, Pengerusi PAAB ketika ini, YB. Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, serta semua pihak yang telah berusaha menjadikannya satu kenyataan.

”Dengan adanya peruntukan daripada PAAB ini akan memudahkan kita merancang kerja-kerja perbelanjaan modal (capex) bagi menyediakan perkhidmatan bekalan air kepada masyarakat di negeri Pahang.

”Ia juga sekali gus menjadikan kerja dan perancangan kita lebih lancar, seperti mana yang saya nyatakan di Dewan Negeri Pahang baru-baru ini, bahawa Kerajaan Negeri Pahang amat komited dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah air di Pahang.” ujarnya.

Dalam pada itu, perjanjian tambahan ini telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mewakili Kerajaan Persekutuan; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak mewakili Kerajaan Negeri Pahang; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Encik Abdul Hadi Ali, dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari.

”Dengan termeterainya perjanjian tambahan tersebut, pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang boleh dikuatkuasakan.

“Perjanjian ini juga membolehkan PAIP memulakan penambahbaikan kecekapan dan peningkatan kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan pembinaan loji rawatan air baharu, menaiktaraf loji rawatan air sedia ada serta penggantian paip dan sistem agihan.” Katanya. -SuaraTV

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat