Misi dakwah Awie buat peminat di Melaka

- Advertisement -

Melaka: Berdakwah menjadi misi penyanyi popular, Datuk Awie ketika mengadakan persembahan dalam bulan Ramadan di Hotel LaCrista, Melaka  pada 30 April ini.

Dalam masa sama ‘Showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan’ itu bakal mengubat kerinduan peminat selepas hampir dua tahun tidak muncul dalam persembahan  pentas susulan pandemik Covid-19.

Katanya, ramai yang terkejut ‘showcase’ berkenaan diadakan dalam bulan Ramadan. Namun, ia seiring objektif misi dakwah itu yang pengisiannya merangkumi tazkirah,doa, solat Maghrib, Isyak dan Solat Tarawih lapan rakaat.

“Mesej saya untuk pendekatan kali ini pastinya merangkumi cinta kepada Allah, ibu bapa, anak, isteri dan alam semesta yang perlu diserapkan dalam diri manusia. Termasuk juga cintakan diri, jiran dan sahabat sekali gus menekan aspek kasih sayang, silaturahim dan pada masa sama mengelak perpecahan,” katanya.

Menurut Awie, ia adalah rahmat daripada Allah yang menyebabkan dia terpilih untuk mengadakan persembahan pada Ramadan kali ini di Melaka menerusi 15 lagu membabitkan tribute kumpulan Search, Letfhanded dan Wings yang digemari ramai.

Selain itu, katanya dia juga menyenaraikan beberapa lagu raya seperti Musafir Di Aidil, Raya Yang Sempurna serta Madu Tiga buat pasangan yang berkahwin dengan diselangi nasihat dan interaksi bersama peminat.

“Persembahan saya hanya santai, riadah dan tenang saja. Insha-Allah, ia bukan show yang ‘stress’ dan memeningkan kepala selama satu jam setengah menerusi lagu popular seperti Mentari Merah Di Ufuk Timur, Penjara Janji dan banyak lagi.

“Tak dinafikan, hampir dua tahun kita menghadapi tekanan pandemik  Covid-19 ini, termasuk dengan setiap hari kita melihat jumlah turun dan naik kes jangkitan.

“Namun, meski dalam situasi ini hidup perlu diteruskan dan peminat juga harus dihiburkan. Justeru, sebagai artis saya kena menghiburkan peminat dan tidak boleh terus menunggu kerana sampai bilapun saya tidak akan bekerja,” katanya.

Awie berkata, persembahan berkenaan sememangnya dirancang terburu- buru dalam masa singkat. Apapun, dia nekad mencari rezeki kerana ‘showcase’ itu sebenarnya membantu semua pengiat seni, termasuk pemuzik dan pengurus acara.

Bagi memastikan keadaan vokalnya berada pada tahap baik, Awie mengaku dia sanggup membelanjakan lebih RM3,000 untuk membuat pemeriksaan doktor yang menyeluruh kerana terbabit dengan latihan agresif berjam-jam lamanya dan berbulan.

“Diharapkan semoga saya sihat sepanjang persembahan ini nanti, walaupun sebelum ini saya ada hadapi masalah bahagian lutut yang tidak boleh digerakkan sebaik bangun dari tidur,” katanya.

Pengarah Urusan LaCrista Hotel, Datuk Rosthman Ibrahim pula, berkata prosedur operasi standard (SOP)  yang ketat bermula di petak kenderaan, pintu masuk dan setiap ruang di hotel berkenaan akan dilakukan sanitasi di dalam dan luar dewan.

Beliau berkata, cabaran sememangnya getir dalam penganjuran ketika pandemik ini, berikutan larangan merentas negeri. Namun, ini juga antara usaha membangkitkan industri hiburan dan perhotelan.

Katanya  jika tidak ada sebarang penganjuran acara, ia akan menjadikan industri perniagaan hotel dan hiburan terus suram kerana tenggelam sepanjang Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,575FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat