KUALA LUMPUR – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disyorkan untuk bertanding lebih 50 daripada 73 kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat ) Lumadan Mazlan Joehari Manan berkata, perkara itu perlu jika GRS bekerjasama dengan pihak lain menjelang PRN akan datang bagi memastikan GRS gabungan parti lokal itu kekal dominan berjuang untuk rakyat Sabah.
Jelasnya, gabungan perlu ada dominasi bagi mewujudkan kestabilan politik namun perkara penting selepas itu (dominasi) adalah kerjasama selepas pilihan raya sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan GRS-PH Plus ketika ini.
“Apa sekali pun bentuk kerjasama politik pada masa akan datang, GRS harus dominan dalam agihan kerusi pilihan raya seterusnya dominan dalam memperjuangkan hak rakyat melalui kerajaan negeri Sabah.
“Justeru, saya secara peribadi berpendapat, GRS kena ada sekurang-kurangnya separuh atau 50 kerusi daripada 73 kerusi pada PRN17 ini dan harap perkara ini dipertimbangkan pucuk pimpinan,” lapor Utusan Borneo.
Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS.
Baru-baru ini Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan sebelum ini mengesyorkan GRS bertanding di semua 73 kerusi pada PRN17 bagi memastikan gabungan itu terus dominan.
Ahli Parlimen Keningau itu juga sebelum ini memaklumkan pendirian STAR yang mahu hanya parti lokal saja bertanding pada PRN17 akan datang tanpa ada penglibatan parti nasional.
Bagaimanapun beliau yang juga Timbalan Pengerusi GRS berkata, keputusan mengenai sebarang bentuk kerjasama GRS hanya akan diputuskan dalam mesyuarat yang dijadualkan selepas Aidilfitri ini.