Transformasi GLC dan GLIC untuk rancakkan pelaburan domestik, hasil bukan cukai dapat ditingkatkan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk merancakkan pelaburan domestik yang strategik dan memperkukuh tatakelola, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata usaha itu dijangka menambah baik hasil dividen daripada GLC dan GLIC.

“Saya setuju usaha tambahan termasuk transformasi GLC dan GLIC untuk memastikan peningkatan pelaburan domestik.

“Apabila pelaburan domestik lebih rancak, hasil bukan cukai pun harapnya dapat ditingkatkan,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata 50 peratus hasil bukan cukai adalah daripada pendapatan pelaburan termasuk dividen daripada Petronas, Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional Bhd.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang menyarankan agar kerajaan memberi fokus kepada hasil bukan cukai yang boleh diperoleh daripada pelaburan GLC dan GLIC bagi meningkatkan hasil negara berbanding menaikkan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus.

Terdahulu, Anwar memaklumkan kerajaan menjangkakan kutipan hasil berjumlah RM3 bilion melalui perubahan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus.

Beliau berkata kenaikan kadar cukai itu bermula 1 Mac lepas yang menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan yang kurang melibatkan rakyat secara langsung.

“Cukai perkhidmatan bagi makanan dan minuman serta telekomunikasi tidak dinaikkan dan kekal pada kadar enam peratus. Perbelanjaan utiliti seperti air dan petrol kekal tidak dikenakan cukai perkhidmatan atau jualan,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat