Sultan Ibrahim berkenan lawat Mindef

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat mencemar duli mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kementerian Pertahanan (Mindef), di sini pada Selasa.

Mindef menerusi kenyataannya memaklumkan, keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Sultan Ibrahim kemudiannya berkenan menandatangani buku tetamu dan seterusnya menerima sembah taklimat dari Ketua Setiausaha Mindef, Dato’ Seri Isham Ishak mengenai struktur organisasi dan profil Mindef, Kertas Putih Pertahanan (KPP), Pelan Strategik Mindef (PSM) 2021-2025, Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), Kekuatan Aset Strategik, Perolehan Aset Utama, Pelupusan Aset Usang dan Projek Pembangunan Utama.

Pada sesi taklimat itu, baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia berkenan mengajukan pelbagai soalan serta pandangan mengenai isu-isu pertahanan negara.

“Hasrat saya adalah sebarang perbelanjaan dan perancangan untuk pertahanan negara mestilah dilakukan secara berhemah tanpa membelakangkan soal keselamatan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut berkenan bergambar kenangan bersama pengurusan tertinggi dan sebelum berangkat pulang, baginda sempat bertemu warga ATM dan Mindef.

Lawatan rasmi ke Mindef adalah merupakan lawatan yang julung kali dizahirkan baginda sejak dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari tahun ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Panglima Tentera Darat , Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan. – Suara.TV

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat