KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menuntut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana memfitnah berhubung kandungan buku teks Sejarah tingkatan 4.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, desakan itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada peguamnya dan mengarahkan peguam berkenaan untuk menghantar surat tuntutan kepada Ketua Pemuda UMNO itu atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan.
“Saya memberi arahan kepada peguam supaya surat tersebut menuntut Dr Asyraf Wajdi membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana memfitnah.
“Budaya politik fitnah jahat ini perlu dihentikan kerana ia sedikit pun tidak menguntungkan rakyat,” tegas Maszlee.
Menurut beliau, sepatutnya sekarang ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan menfitnah sesuka hati.
“Saya harap tindakan ini menyedarkan semua pihak, tidak kira dari parti mana, budaya fitnah jahat berunsur perkauman perlu segera dihentikan, apatah lagi ia melibatkan pendidikan negara, pendidikan anak-anak kita.
“Sebarang perkembangan terkini, akan saya maklumkan. Terima kasih semua yang menyokong usaha ini. Saya percaya rakyat Malaysia muak dan tidak suka dengan budaya politik begini, apatah lagi ia boleh menggugat perpaduan kaum di negara ini,” katanya.
Terdahulu, Maszlee mendesak Asyraf menarik balik kenyataan berhubung dakwaan fakta buku teks sejarah tingkatan 4 mengandungi unsur fakta dimanipulasikan.
Katanya, jika tiada permohonan maaf atau penarikan kenyataan dibuat, beliau akan memfailkan saman fitnah.
Kementerian Pendidikan (KPM) mempertahankan ketepatan fakta buku teks itu, selepas Asyraf mendakwa ada unsur fakta dimanipulasikan.
KPM menegaskan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sejarah tingkatan 4 mematuhi “semua proses penerbitan” bagi menjamin kualiti buku, “termasuk ketepatan fakta”.
Menurut KPM, penerbitan buku teks itu berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM sejarah tingkatan 4. Kandungan DSKP itu pula berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011-2012).
Asyraf sebelum ini mendesak KPM menarik balik buku teks itu, kerana mendakwa terdapat unsur fakta dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan. – SuaraTV