Fahmi tolak dakwaan filem Malaysia tidak diminati, kutipan melonjak RM253 juta

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menolak tanggapan bahawa filem Malaysia tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan penonton apabila kutipan karya tempatan di bawah Skim Wajib Tayang melonjak kepada RM253.31 juta pada 2025.

Angka itu meningkat lebih sekali ganda berbanding RM125.28 juta yang direkodkan pada 2024, manakala kutipan bagi tahun ini sudah mencecah RM111.83 juta setakat 10 Ogos.

Menurut Fahmi, Blood Brothers: Bara Naga muncul sebagai filem dengan kutipan tertinggi di bawah skim berkenaan pada 2025 selepas meraih RM73.6 juta.

Filem animasi Papa Zola The Movie pula mencatat kutipan RM63.8 juta, membuktikan karya tempatan daripada genre berbeza mampu menarik penonton.

“Kejayaan kedua-dua karya daripada genre yang berbeza ini membawa mesej yang jelas, penonton Malaysia mempunyai keyakinan terhadap karya tempatan apabila kita menawarkan kandungan yang berkualiti, kompetitif dan dekat di hati mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara FINAS Damansara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Isnin.

Fahmi berkata, lima filem tempatan telah melepasi kutipan RM10 juta sepanjang 2026 setakat ini, iaitu Ah Beng vs Liang Po Po, Malaikat Malam, Libang Libu, Tarung: Unforgiven dan Polong.

Jumlah filem yang ditayangkan menerusi Skim Wajib Tayang turut meningkat daripada 58 buah pada 2024 kepada 71 buah pada 2025.

Sebanyak 31 filem telah ditayangkan setakat 2 Julai lalu, manakala 80 filem disasarkan untuk ditayangkan pada 2027.

Peningkatan sama turut dicatatkan dari segi jumlah penonton filem tempatan, daripada 5.87 juta orang atau 16.8 peratus daripada keseluruhan penonton pawagam pada 2023 kepada 7.14 juta orang atau 21.9 peratus pada 2024.

Jumlah itu melonjak kepada 14.83 juta penonton pada 2025, bersamaan 36.5 peratus daripada keseluruhan penonton pawagam.

Bagi tahun ini, filem tempatan telah menarik seramai 6,099,245 penonton setakat Julai.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata ibu pejabat baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang dibina di tapak seluas 2.08 hektar telah beroperasi sepenuhnya sejak 6 Ogos lalu.

Menurutnya, pengoperasian Menara FINAS akan memperkukuh pelaksanaan dasar, dana dan insentif; pelesenan serta penguatkuasaan yang memudah cara; selain pemeliharaan warisan perfileman negara melalui pengurusan arkib filem dan dokumentari. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat