Program tanam semula sawit RM80 juta FELDA Palong 7 dalam perhatian SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti maklumat berhubung pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula sawit di FELDA Palong 7, Wilayah Raja Alias, Bandar Sri Jempol, Negeri Sembilan.

Program yang dilaporkan bernilai antara RM70 juta hingga RM80 juta itu menimbulkan persoalan mengenai kualiti serta pematuhan spesifikasi anak benih sawit yang dibekalkan.

SPRM dalam kenyataan berkata, maklumat berkenaan diterima daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi Palong (PERBAGI), Mohd Syahrizal Md Yusuf.

Menurut suruhanjaya itu, beliau membangkitkan beberapa persoalan dan kebimbangan berkaitan kualiti anak benih sawit serta pelaksanaan keseluruhan program berkenaan.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk aspek pembekalan, penghantaran, penyimpanan, umur serta pematuhan spesifikasi anak benih sawit.

“SPRM mengambil maklum dakwaan dan kebimbangan yang dibangkitkan serta akan meneliti maklumat berkenaan bagi menentukan sama ada terdapat sebarang elemen yang mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM,” katanya pada Selasa.

SPRM turut mengambil perhatian terhadap permohonan supaya aspek teknikal berkaitan kualiti dan pematuhan spesifikasi anak benih diperiksa oleh agensi teknikal berkaitan.

“Sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil penelitian dan maklumat yang diperoleh,” menurut kenyataan itu.

Program tanam semula sawit berkenaan dilaporkan bakal memberikan manfaat kepada kira-kira 450 peneroka di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, SPRM menegaskan bahawa penerimaan maklumat itu tidak bermaksud mana-mana pihak telah melakukan kesalahan dan perkara berkenaan tidak wajar dianggap sebagai kesimpulan terhadap mana-mana individu atau pihak terlibat.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan generasi baharu peneroka FELDA Palong 7 menggesa SPRM menyiasat pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula sawit berkenaan. – BERNAMA/SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat